Friday, March 20, 2009
Authors Talk di MPH Alamanda
Saya telah di jemput oleh pihak penerbit buku saya iaitu Truewealth Sdn Bhd untuk menjayakan sessi ceramah " Author's Talk" di kedai buku MPH di Alamanda , Putrajaya pada 15 Mac 2009.Tajuk ceramahnya adalah kandungan buku saya yang pertama iaitu " Hindari Kanser dengan Anti Oksidan".
Ini adalah pengalaman pertama saya memberi ceramah ditempat terbuka , dimana bukan semua yang datang untuk mendengar ceramah. Seolah-olah menjual ubat di tepi jalan. Dalam hati ada juga perasaan gementar , seandainya saya ini di pandang 'senget' kerana bercakap sorang-sorang.
Tapi berkat galakan & sokongan padu isteri tercinta saya teruskan juga. Pada paginya , wakil dari Truewealth Sdn Bhd iaitu En Fazli telah menalipon saya untuk mengingatkan tentang sessi ceramah ini. Saya bertolak dari Melaka , lebih kurang pukul 12.30pm terus ke Putrajaya. Jalan agak selesa tanpa 'jam' atau apa -apa halangan. Sampai di Alamanda lebih kurang pukul 2.30pm dan agak susah mencari 'parking'.
Saya terus ke MPH Bookstore dan menyediakan diri. Ceramah saya saya jalankan dengan bantuan perisian Power Point menggunakan komputer bimbit saya. Saya diberikan tempat ditengah-tengah kedai buku tersebut.
Tepat jam 3pm saya pun memulakan ceramah saya. Seorang staf dari MPH bertindak sebagai MC dan mengumumkan ceramah saya akan dimulakan. Mulanya agak gementar , selepas saya mula membuka mulut , saya teruskan ceramah tanpa menghiraukan samada orang memandang saya atau pun tidak. Beransur-ansur orang ramai mula mengerumuni tempat itu dan mula mendengar apa yang saya sampaikan.
Syukur saya kerana agak ramai juga yang berminat dengan apa yang saya sampaikan. Abang saya Norazmi yang bekerja di Putrajaya juga telah tiba dan mendengar sama dengan isteri dan anak-anak saya.Anak-anak saya cukup berdisiplin dan tidak mengganggu ceramah yang saya sampaikan dan mereka berdiri mendengarnya dengan tekun. Kehadiran mereka memberi semangat pada saya untuk terus menyampaikan apa yang ingin saya katakan pada hari itu.
Sewaktu berceramah seorang pakcik amat berminat dengan apa yang saya sampaikan. Beliau bertanya banyak soalan dan saya menerangkan semuanya satu persatu. Beliau bertanya apakah dia anti oksidan , radikal bebas dan bagaimana pula ia boleh menyebabkan kanser. Beliau juga amat terkejut apabila saya memberitahu bahawa klorin dalam air paip yang kita minum setiap hari boleh menjadi bahan yang menyebabkan kanser apabila dipanaskan ia bertukar menjadi 'trihalometane' . Bagaimanakah anti oksidan membantu dan juga pentingnya menggunakan penapis air di rumah.
Sepatutnya adik saya Noraida , ibu saya tiga orang lagi anak buah saya Sarah, Fatimah dan Doyah hadir sama tetapi mereka terlewat kerana sesat di Putrajaya. Abang saya yang seorang lagi iaitu Norshamshah (penulis buku Sengkek) terlewat juga .Selepas selesai ceramah saya , sewaktu saya sedang menandatangani buku-buku saya baru mereka tiba. Tak kisah lah ,yang penting sokongan dari mereka memang saya hargai.
Selepas selesai berceramah , beberapa pengunjung membeli buku-buku saya dan mendapatkan "autograf" saya. Buat pertamakalinya dalam sejarah hidup saya rasa macam 'celebriti' pulak apabila ada orang minta autograf. Banyak lagi soalan-soalan yang ditanya sewaktu mereka menunggu buku di autograf. Nampaknya ramai yang berminat dengan buku kedua saya iaitu "Nak Tak Berhenti Merokok?", kebanyakan yang membeli adalah untuk menghadiahkan kepada suami mereka yang merokok.
Pakcik yang banyak bertanya tadi nampak amat berminat dengan buku saya , tetapi mungkin bajetnya untuk membeli buku telah habis untuk hari itu maka beliau menulis di sekeping kertas tajuk buku saya agar dia tidak lupa. Apabila melihat hal itu , saya merasa amat gembira dan saya menghadiahkan sebuah buku saya sendiri kepada pakcik tadi.Beliau amat gembira menerima hadiah saya , kemudian baru lah saya tahu nama pakcik itu ialah Abdullah. Saya cuma meminta Pakcik Abdullah mendoakan saya agar berjaya dalam hidup dan diberi keberkatan oleh ALLAH dalam hidup ini. Saya juga meminta pakcik itu mendoakan saya selamat sampai ke Tanah Suci Mekah & Madinah pada 4.4.09 nanti untuk mengerjakan umrah.
Ini merupakan satu pengalaman yang amat berharga buat saya. Menurut En Fazli dari Truewealth , semua penulis di bawah Truewealth mesti membuat ceramah seperti ini di MPH Bookstore mengikut giliran masing-masing untuk mempromosi buku mereka.
Bagi diri saya yang penting ilmu yang bermanafaat dapat saya sampaikan melalui buku-buku saya. Banyak lagi buku-buku yang sedang saya tulis dan dalam proses awal. pelbagai tajuk yang ingin saya sampaikan kepada ramai manusia yang lain . Saya berdoa semoga usaha saya ini mendapat pahala amal jariah yang berpanjangan sehingga akhirat. Selesai semuanya , kami sekeluarga pergi berjalan-jalan melihat tempat-tempat menarik di Putrajaya.
Wallahualam
No comments:
Post a Comment