Wednesday, August 21, 2013

Kucing penyebab keguguran?


Dalam sibuk merayakan Aidilfitri kali ini saya ditanya oleh seseorang. Benarkah membela kucing boleh menyebabkan masalah keguguran kepada wanita mengandung? Beliau meminta saya menulis artikel tentang perkara ini. Kucing adalah haiwan peliharaan yang dibenarkan dalam Islam dan bukannya anjing. Membela kucing sebagai haiwan kesayangan adalah satu sunnah Nabi Muhammad SAW.

Baginda mempunyai seekor kucing yang diberi nama ‘Muezza’ yang sangat manja kepada baginda Rasulullah. Nabi Muhammad selalu menggendong dan meletakkan kucingnya dipahanya dan mengusapnya. Baginda amat menyayangi kucingnya sebagaimana diceritakan dalam suatu kisah, suatu ketika, dikala nabi hendak mengambil jubahnya, di temuinya Mueeza sedang terlelap tidur dengan santai diatas jubahnya. Kerana tidak mahu mengganggu haiwan kesayangannya itu, nabi pun memotong belahan lengan yang ditiduri Mueeza dari jubahnya. Salah satu sifat Mueeza yang Nabi Muhammad SAW sukai ialah dia selalu mengeoww ketika mendengar azan, dan seolah-olah suaranya terdengar seperti mengikuti lantunan suara azan




Kepada para sahabatnya, nabi selalu berpesan untuk menyayangi kucing peliharaan, seperti menyayangi keluarga sendiri. Para sahabat juga menyukai kucing sehingga salah seorang sahabat yang bernama Abdul Rahman bin Sakhr Al Azdi di gelar sebagai Abu Hurairah yang bermaksud ‘Bapa Kucing’ yang mana beliau amat banyak meriwayatkan hadis Nabi Muhammad SAW.
 Kucing adalah haiwan yang bersih dan suci, sebagaimana Rasulullah Saw bersabda,

“Kucing tidak najis. Ia binatang yang berkeliling.” (HR Al Baihaqi).


Walaupun begitu, dari sudut kesihatan membela kucing mempunyai beberapa isu kesihatan yang perlu kita fahami. Ada sesetengah doktor yang menasihatkan wanita yang mengandung tidak membela kucing atau menghampiri kucing kerana pada pendapat mereka jika terkena cakaran kucing akan merisikokan kandungan gugur. Memang benar, kucing boleh menjadi pembawa kepada sejenis kuman yang dinamakan ‘Toxoplasmosis gondii’ yang menyebabkan penyakit toxoplasmosis yang boleh menjadi salah satu jangkitan yang menyebabkan masalah keguguran kandungan.


Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna jika anda memelihara kucing di rumah maka secara otomatik anda berisiko mengalami masalah keguguran jika mengandung. Kadangkala risiko keguguran akibat membela kucing dirumah ini diperbesarkan tanpa ada kajian khusus yang membuktikannya. Realitinya yang kita lihat, berapa ramai ibu-ibu mengandung diluar sana yang mempunyai kucing di rumah tetapi mengandung dan melahirkan bayi yang sihat.

Satu kajian yang dilaporkan dalam pada tahun 2008 dalam British Medical Journal (BMJ) yang bertajuk ‘Sources of Toxoplasma infection in pregnant women’ dijalankan pada tahun 2000 oleh European Muticentre Case-Control Study di Eropah melaporkan risiko terbesar mendapat jangkitan toxoplasmosis adalah melalui makan daging yang tidak cukup masak atau mentah, dan risikonya dibandingkan dengan seseorang yang membela kucing adalah jauh lebih rendah. Menurut kajian ini, jangkitan toxoplasmosis melalui kucing adalah rendah kerana kucing yang dipelihara sebagai haiwan kesayangan bukanlah ‘pembawa’ semulajadi kuman toxoplasma ini.


Biasanya kucing peliharaan ini akan mendapat kuman ini dari kucing liar melalui najisnya. Kucing peliharaan akan menghasilkan antibodi melawan kuman toxoplasma ini dan tidak akan menjangkiti manusia melalui sentuhan biasa. Jika kucing peliharaan mendapat jangkitan kuman toxoplasma dan sebelum sempat ia menghasilkan antibodi maka terdapat risiko lebih tinggi ia menjangkiti manusia. Kucing liar lebih berisiko mendapat jangkitan kuman toxoplasma ini kerana faktor pemakanan dan terdedah kepada najis kucing lain yang dijangkiti. Kuman toxoplasma ini juga dijumpai dalam tikus dan juga daging mentah yang tercemar.


Oleh itu adalah amat rendah kebarangkalian kucing peliharaan mendapat jangkitan jika ia dijaga dengan baik dengan makanan kucing komersial atau makanan yang dimasak begitu juga jika najis yang tidak bercampur dengan najis kucing liar. Kucing yang selalu diberi makan daging mentah juga mempunyai risiko yang lebih tinggi mendapat jangkitan kuman toxoplasma ini. Jangkitan kuman toxoplasma boleh berlaku jika tuan punya kucing menyentuh najis kucing dan kemudiannya menggunakan tangan yang sama untuk makan sebelum membasuhnya.


Oleh itu jika anda membersihkan sangkar atau pasir najis kucing anda pastikan anda membasuh tangan kemudiannya untuk mengelakkan sebarang jangkitan. Sentuhan bulu kucing dan bermain dengan kucing secara yang biasa tidak akan menyebabkan jangkitan berlaku dan kucing peliharaan juga amat jarang mengalami masalah jangkitan kuman toxoplasma ini. Secara umumnya risiko mendapat jangkitan kuman toxoplasma dengan kucing peliharaan adalah amat rendah dan jarang berlaku. Oleh itu boleh dikatakan ianya selamat bagi ibu-ibu mengandung untuk mengelakkan risiko keguguran jika memelihara kucing dengan cara yang bersih dan sihat.

Walaubagaimanapun, Pusat Kawalan Penyakit (CDC) , USA pada tahun 2008 mencadangkan beberapa langkah berjaga-jaga kepada wanita-wanita mengandung untuk mengelakkan risiko mendapat jangkitan toxoplasmosis melalui kucing seperti berikut:

  • Jangan membersihkan najis kucing jika anda sedang mengandung dan jika tiada pilihan , maka gunakan sarung tangan getah dan basuhlah tangan selepas mengendalikan kucing anda.
  • Cuci dan bersihkan tempat pasir najis kucing setiap hari kerana kuman toxoplasmosis mudah berjangkit dalam tempoh 1 hingga 5 hari selepas kucing membuang najis.
  • Jangan memberi makan daging mentah kepada kucing anda dan jangan biarkan kucing anda bercampur gaul dengan kucing liar diluar rumah.

  • Elakkan mengendalikan kucing liar atau anak kucing liar diluar rumah jika anda sedang mengandung atau merancang utuk mengandung.

  • Jangan biarkan kucing liar berkongsi pasir najis dengan kucing peliharaan anda.

  • Gunakan sarung tangan getah jika membersihkan najis kucing yang tidak anada ketahui asal usulnya.

Peliharalah kucing dengan cara yang sihat dan bersih. Niatkanlah memelihara kucing kerana mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW dan janganlah menyiksa haiwan peliharaan ini dengan mengurung dan tidak memberikan makanan secukupnya.


Janganlah memelihara kucing jika anda ada alahan atau allergy dengan bulunya. Kucing boleh membantu menurunkan paras stress jika kita bermain dan mengusapnya setiap hari.

 

Wallahua’lam

Dr Norman Mohd Norawi
(MBBS,FAGE, MScAAARM)

1 comment:

yuss said...

trima kasih infonya ya doktor..