Thursday, September 26, 2013

Bantu Anak Hindari Masalah Obesiti

Masalah kegemukan atau obesiti adalah satu ancaman kesihatan yang serius dan membimbangkan kepada masyarakat zaman sekarang. Apa yang lebih membimbangkan adalah masalah obesiti dikalangan kanak-kanak.Masalah ini adalah satu epidemik yang telah melanda seluruh dunia akibat arus permodenan.
Pengambilan pelbagai makanan segera dan minuman berkarbonat dan jus segera yang mengandungi gula yang berlebihan adalah adalah diantara punca kepada masalah obesiti ini.  Jus segera yang dijual dalam air kotak, tin atau botol sebenarnya mempunyai jus yang amat sedikit dan kandungan gula yang amat tinggi. Begitu juga dengan minuman tenaga atau minuman coklat yang diiklankan sebagai minuman kesihatan yang hakikatnya mengandungi gula yang berlebihan. Oleh kerana itu ramai ibubapa menyangka bahawa minuman ini sihat dan baik untuk kesihatan.
Dalam satu laporan dalam Guardian Express di USA, ia menyatakan bahawa kanak-kanak zaman sekarang adalah 40% lebih berat daripada kanak-kanak 25 tahun dahulu. Laporan itu juga menyatakan bahawa industri minuman ini banyak mengiklankan minuman mereka dengan menjadikan kanak-kanak sebagai ‘target’ utama.Terdapat banyak mesin minuman (vending machine) ini diletakkan di sekolah-sekolah yang institusi pendidikan yang menjadikan kanak-kanak sekolah mudah untuk membelinya.Minuman berkarbonat yang pelbagai perisa juga adalah menjadi kesukaan kanak-kanak turut menyumbang kepada masalah ini.
Pengiklanan besar-besaran di televisyen dan internet juga mempengaruhi kanak-kanak untuk cenderung memilih minuman ‘proses’ ini. Ibubapa yang didesak oleh anak-anak mereka akan akhirnya membelikan pelbagai jenis minuman manis ini kepada kanak-kanak ini. Masalah gigi dan gusi akibat pengambilan gula berlebihan ini juga meningkat dikalangan kanak-kanak.
 
Makanan segera dan jajan terlalu mudah untuk didapati sekarang. Dengan hanya menalipon talian segera, makanan ini boleh dihantar kerumah tanpa perlu keluar dan ini amat memudahkan ibubapa yang berkerja. Ibubapa yang kepenatan setelah berkerja seharian, tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk masak dengan makanan yang lebih sihat kepada anak-anak mereka. Anak-anak yang cerewet dan memilih makanan juga menjadikan mereka cenderung memilih makanan segera yang jauh lebih sedap dan ‘glamor’ apabila di makan. Kanak-kanak mudah mangaitkan makanan segera dengan suatu perkara yang menggembirakan mereka.Makanan segera ini juga lebih murah dan amat mudah didapati.
Jajan dan snek seperti kerepek, keropok, biskut dan sebagainya amat murah dan mudah dibeli dimana-mana menyumbang kepada masalah obesiti ini. Kanak-kanak biasanya tidak suka makan sayur dan buah-buahan dan akan mengambil contoh dari ibubapa mereka yang suka makan makanan yang tidak sihat. Ibubapa juga kurang mengambil berat soal makanan sihat dan tidak mempunyai ilmu yang cukup tentang pemakanan yang sihat.
Beberapa tips untuk ibubapa yang mempunyai anak-anak yang ada masalah obesiti ini.
1.    Gantikan minuman manis dengan minum lebih banyak air kosong atau air mineral semasa makan dirumah. Galakkan anak-anak minum air kosong dan kurang mengambil minuman manis akan menurunkan risiko obesiti sehingga 60%. Ini adalah satu langkah yang dramatik dan amat berkesan untuk membendung masalah ini. Jangan menyediakan minuman manis seperti air sirap atau air kordial semasa makan.

 


2.    Sediakan makanan lengkap (whole food) dan sihat yang kaya dengan makanan segar seperti buah-buahan, sayur-sayuran, ikan, telur, ayam dan daging segar. Makan makanan yang kaya dengan serat dan dengan zat-zat yang tinggi dengan vitamin dan mineral seperti beras perang, buah-buahan. Galakkan anak-anak anda makan makanan sihat dan kurangkan makan makanan proses dan segera seperti kerepek, snek, jajan dan sebagainya. Lebihkan makanan berprotein tinggi seperti telur, kekacang, ayam, daging, ikan dan sebagainya dan kurangkan makanan berkarbohidrat tinggi.







 

3.    Kurangkan masa menonton televisyen dan bermain game di komputer kerana ia mengakibatkan anak-anak menjadi tidak aktif secara fizikal. Televisyen juga meransangkan anak-anak memilih makanan segera dan tidak sihat kerana pengaruh iklan. Makan sambil mengadap televisyen juga mengakibatkan anak-anak makan secara berlebihan terutamanya makanan jajan dan snek.



4.    Bersenamlah bersama-sama dengan anak-anak. Ia akan mengeratkan hubungan kekeluargaan dan kasih sayang diantara ibubapa dan anak-anak. Aktivit fizikal juga membantu menurunkan berat badan disamping meransang perkembangan hormon yang sihat. Berbasikal bersama-sama anak-anak, main badminton bersama, bersukan, berjoging bersama dan pelbagai lagi aktiviti fizikal lain boleh dilakukan. Sekadar berjalan dan menemani anak-anak ke padang permainan juga adalah satu aktiviti yang sihat.

 

5.    Memberikan sokongan moral pada anak-anak yang menghadapi masalah obesiti ini juga amat penting. Tekanan psikoloji dan emosi anak-anak yang obesiti disekolah yang selalu diejek atau terasing boleh menyebabkan anak-anak ini makan dengan lebih banyak kerana ‘makan emosi’ yang selalunya kana-kanak ini akan memilih makanan manis dan bergula. Jangan sesekali menambahkan tekanan psikoloji anak-anak ini dengan mengelar mereka dengan panggilan yang mengejek mereka seperti ‘gemuk’, ‘bob’, ‘boyot’, ‘gajah’, ‘badak’ dan sebagainya.

Ibubapa sepatutnya memberikan contoh yang baik kepada anak-anak dengan menjaga berat badan sendiri dan bersama-sama makan makanan sihat dan bersenam selalu. Tambahlah ilmu tentang pemakanan sihat dan bagaimana penyediaan makanan yang sihat. Elakkan membeli makanan segera selalu dan mengambil mudah soal penyediaan makanan kepada anak-anak.
Untuk menambahkan ilmu tentang penjagaan kesihatan dan mengawal berat badan maka anda boleh membaca buku tulisan saya “ 8 Rahsia Menguruskan Badan Tanpa Berdiet”. Untuk maklumat lanjut boleh mengubungi saya melalui email: drnormanmlk@yahoo.com.my. Semoga kita dapat sama-sama bermanfaat dari ilmu yang ingin saya sampaikan dan mengekalkan kesihatan yang terbaik sehingga akhir hayat.

Wassalam

Dr Norman Mohd Norawi
(MBBS, MScAARMMA, FAGE)

1 comment:

A Khalid said...

Perkongsian yang bagus, moga ramai ibu bapa yg membaca perkongsian dr dan obesiti di kalangan kanak2 dpt di kurangkan.

saya sedang dlm pengajian sarjana mengenai obesiti.

Sudilah kiranya singgah di blog saya :
Asyrafanisah.blogspot.com