Monday, September 1, 2014

BOIKOT TERUS UNTUK KESIHATAN




Oleh:
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MScAARMMA, FAGE


Masyarakat di Malaysia berdiri teguh memberikan sokongan kepada mangsa-mangsa keganasan Israel di Gaza yang sedang berlaku sekarang. Atas dasar persaudaraan sesama Islam dan semangat kemanusiaan yang kuat ramai yang mendoakan keselamatan mereka dan mem’boikot’ perniagaan syarikat-syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dan menyumbang kepada regim zionis Israel. Kita yang tidak mampu untuk menolong secara terus ini boleh membantu dengan cara memboikot ini.
Mungkin kita tidak sedari kebanyakan dari produk-produk yang diboikot ini adalah juga produk-produk yang juga dikaitkan dengan pelbagai risiko kesihatan dan penyakit kronik yang merbahaya.

Produk-produk ini dikategorikan sebagai makanan segera dan proses yang amat tinggi dengan ‘asid lemak trans’ begitu juga  minuman bergas perasa ‘cola’ yang popular yang mempunyai kandungan gula yang sangat tinggi.   Minuman dari syarikat yang dikaitkan dengan Israel yang berperisa coklat yang tinggi dengan gula dan maltodekstrin yang boleh meningkat risiko penyakit diabetis.
Hakikatnya semua jenis produk ini sepatutnya kita boikot demi untuk kesihatan yang baik dan tidak amalkan dalam pemakanan seharian kita kerana kajian sains telah menunjukkan pemakanan ini meningkatkan risiko kita mendapat pelbagai penyakit kronik seperti diabetis, darah tinggi, kolesterol, sakit jantung, strok dan kanser.
Kita sebaiknya jadikan boikot ini satu permulaan kepada boikot demi kesihatan yang berterusan. Minuman bergas yang kaya dengan gula adalah sangat berbahaya kepada kesihatan. Menurut kajian sains yang dilaporkan dalam American Journal of Medicine pada tahun 2008, kebanyakan orang dewasa zaman sekarang mengalami masalah paras glukosa yang tinggi dalam darah. Kajian ini melibatkan 46,000 individu pertengahan umur dan ia mendapati 80% dari mereka mempunyai paras glukosa berpuasa dalam darah yang tinggi. Ianya berpunca dari pengambilan makanan proses berkarbohidrat yang tinggi terutamanya tinggi dengan gula. Epidemik paras glukosa yang tinggi dalam darah ini akan menyebabkan penyakit kronik seperti diabetis, darah tinggi, sakit jantung strok dan sebagainya. Oleh itu untuk mencegah epidemik ini dari berterusan, mengawal pengambilan makanan proses bergula tinggi adalah satu langkah yang amat wajar.
Masyarakat kita masih lagi memandang gula ini sebagai satu risiko kesihatan yang kecil. Tetapi hakikatnya peningkatan pengambilan gula adalah berkadaran secara terus dengan insiden peningkatan penyakit diabetis. Ini terbukti dari satu kajian yang dilaporkan dalam Jurnal Diabetologia pada tahun 2013 yang bertajuk “ Consumption of Sweet Beverages and Type 2 Diabetis incidence in European Adults; Result from EPIC-Inter Act” yang menunjukkan dengan minum sebotol atau setin sahaja minuman bergas yang bergula tinggi setiap hari akan meningkatkan risiko mendapat penyakit diabetis sebanyak 18-22%.
Masalah kegemukan atau obesiti adalah satu ancaman kesihatan yang serius dan membimbangkan kepada masyarakat zaman sekarang. Apa yang lebih membimbangkan adalah masalah obesiti dikalangan kanak-kanak.Masalah ini adalah satu epidemik yang telah melanda seluruh dunia akibat arus permodenan.
Pengambilan pelbagai makanan segera dan minuman berkarbonat dan jus segera yang mengandungi gula yang berlebihan adalah adalah diantara punca kepada masalah obesiti ini.  Jus segera yang dijual dalam air kotak, tin atau botol sebenarnya mempunyai jus yang amat sedikit dan kandungan gula yang amat tinggi. Begitu juga dengan minuman tenaga atau minuman coklat yang diiklankan sebagai minuman kesihatan yang hakikatnya mengandungi gula yang berlebihan. Oleh kerana itu ramai ibubapa menyangka bahawa minuman ini sihat dan baik untuk kesihatan.



Dalam satu laporan dalam Guardian Express di USA, ia menyatakan bahawa kanak-kanak zaman sekarang adalah 40% lebih berat daripada kanak-kanak 25 tahun dahulu. Laporan itu juga menyatakan bahawa industri minuman ini banyak mengiklankan minuman mereka dengan menjadikan kanak-kanak sebagai ‘target’ utama.Terdapat banyak mesin menjual minuman (vending machine) ini diletakkan di sekolah-sekolah yang institusi pendidikan yang menjadikan kanak-kanak sekolah mudah untuk membelinya.Minuman berkarbonat yang pelbagai perisa juga adalah menjadi kesukaan kanak-kanak turut menyumbang kepada masalah ini.
Makanan barat segera yang ‘popular’ menjual makanan yang sangat kaya dengan asid lemak ‘trans’. Ia menjadi diantara punca kepada masalah penyakit kardiovaskular yang melanda masyarakat moden sekarang. Ia patut diboikot berterusan demi kesihatan yang lebih baik.
Ini adalah berdasarkan kajian yang dilaporkan dalam New England Medical Journal pada tahun 1990 menunjukkan pemakanan yang tinggi dengan asid lemak trans akan meningkatkan paras kolesterol tidak baik LDL dan menurunkan paras kolesterol baik HDL. Berdasarkan satu lagi laporan dalam jurnal perubatan yang sama pada tahun 1997, pengambilan asid lemak trans ini meningkatkan risiko  untuk mendapat penyakit jantung. Kajian juga menunjukkan asid lemak trans ini menyebabkan masalah ‘keradangan mikro’ dalam saluran darah yang menjadikan punca terbentuknya plak kolesterol dalam dinding saluran darah yang akan menyebabkan saluran darah tersumbat terutamanya saluran darah koronari dijantung.



Ironinya, dalam memboikot produk berkaitan Israel, kita kurang menyebut tentang produk ini iaitu ROKOK. Ia adalah satu lagi produk yang patut kita boikot sejak dari awal lagi. Ini adalah kerana syarikat rokok dikaitkan dan menyumbang kepada ekonomi Israel.  Isu tentang rokok memang banyak di perkatakan sekarang terutamanya isu berkaitan kesan merokok kepada kesihatan. Sememangnya ramai yang tahu bahawa merokok boleh menyebabkan pelbagai jenis kanser, sakit jantung, darah tinggi , angin ahmar, penyakit sekatan paru-paru, gangrene, sakit urat darah, keguguran dan pelbagai penyakit lagi. Dengan memboikot rokok kita dapat menjaga kesihatan kita disamping tidak menyumbang secara lansung kepada ‘bom-bom’ yang memusnahkan dan membunuh saudara-saudara kita di Gaza.
Jika kita benar-benar ikhlas untuk memboikot produk dan barangan yang dikaitkan dengan Israel maka kita patut meneruskan boikot ini untuk menjaga kesihatan kita untuk jangkamasa panjang kerana produk-produk ini juga meningkatkan risiko kesihatan kita.
Insyaallah



No comments: