Monday, October 29, 2012

Gula itu Madu atau Racun ?



Gula telah menjadi satu ‘budaya’ dalam masyarakat Malaysia hari ini. Masyarakat kita terlalu bergantung kepada gula. Kenaikan harga gula akan menyebabkan kenaikan pelbagai jenis makanan dan minuman. Madu adalah bahan yang dikaitkan dengan kesihatan. Madu disebut dalam Al Quran sebagai satu makanan berkhasiat dan boleh dijadikan ubat. Kajian sains juga telah membuktikan fakta ini. Madu telah digunakan sejak zaman purba sebagai ubat dan untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Walaupun rasanya manis seperti gula, tetapi kesan kedua-dua bahan ini amat bertentangan dari aspek kesihatan.


Sejarah gula di Malaysia hanya bermula selepas era penjajahan British yang membawa produk ini ke negara kita. Sebelum abad ke 18, manusia hanya menggunakan madu sebagai pemanis dalam makanan atau minuman. Tebu dimakan secara terus untuk merasa kemanisannya.



Gula dipercayai oleh ahli sejarah mula digunakan oleh masyarakat di India 500 tahun sebelum masihi. Ia dihasilkan daripada tebu yang tumbuh secara semulajadi disana. Ia dipanggil ‘khanda’ yang menjadi asal kepada perkataan ‘candy’ dalam bahasa Inggeris. Era penjajahan membawa kepada penghasilan gula secara industri dan hamba-hamba yang dibawa dari Afrika digunakan untuk berkerja diladang-ladang tebu di barat. Gula mula dikilang pada abad ke 18 bermula dengan perladangan tebu di West Indies dan Amerika.Pada abad ke 19 gula mula dihasilkan dari ‘ubi bit’ yang lebih sesuai ditanam di negeri berhawa sejuk.

Sekarang gula telah menjadi suatu barangan yang ‘wajib’ dalam setiap rumah di seluruh dunia. Pengambilan gula telah meningkat dengan begitu ketara sekarang. Pada tahun 2011 penghasilan gula dunia adalah 168 juta tan setahun. Secara purata setiap manusia menggunakan 24kg gula setahun, iaitu 2kg gula sebulan. Di Malaysia, penggunaan gula adalah sehingga 27 sudu sehari menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Saranan dari WHO untuk pengambilan gula yang sihat adalah kurang dari 10 sudu gula sehari.

Gula dan Kesihatan

Gula pasir putih, juga dikenali sebagai sukrosa adalah bentuk gula paling biasa, tetapi bukan satu-satunya jenis gula. Bentuk-bentuk lain termasuk gula perang, fruktosa, maltosa, gula melaka, glukosa dan sirap mapel. Semua jenis gula ini adalah karbohidrat yang menjadi sumber tenaga utama dalam makanan.

Menurut kajian saintifik, gula pasir dikaitkan dengan 60 jenis penyakit kronik seperti kencing manis, kegemukan, darah tinggi, masalah kolesterol, sakit jantung, strok, masalah buah pinggang, osteoporosis dan pelbagai lagi.
Gula dalam Aiskrim

Gula mempunyai indeks glisemik(GI) yang tinggi, oleh kerana penggunaan gula yang amat tinggi dalam masyarakat kita maka ia menjadi punca kepada pelbagai penyakit. Makanan yang mempunyai GI yang tinggi adalah punca kepada masalah sindrom metabolik atau sindrom X. Fakta ini telah saya tuliskan dalam buku saya “ 8 Rahsia Menguruskan Badan tanpa Berdiet” dan juga untuk mendapat maklumat lanjut boleh layari blog : doknorm.co.nr.

Buku Terbaru !!


Diantara perkara yang tidak kita sedari adalah gula tersembunyi yang banyak didalam makanan. Hampir semua makanan proses menggunakan gula. Kuih muih, kek, biskut , coklat, pastri dan sebagainya amat kaya dengan gula. Minuman bergas dan juga kordial juga mengandungi gula yang tinggi. Tahukah anda bahawa minuman 3-dalam-1 sarat dengan gula. Satu cawan minuman kopi putih dan malt coklat mungkin mengandungi tiga hingga empat sudu teh gula. Bayangkan, jika anda meminum hanya dua hingga tiga cawan minuman ini sehari. Anda pasti sudah melebihi had harian yang disyorkan oleh WHO. Ini belum lagi diambil kira beberapa jenis gula yang terkandung dalam makanan-makanan biasa anda.

Pakar pemakanan yang terkenal Dr William Coda Martin telah melabelkan gula sebagai ‘racun putih’ pada tahun 1957. Menurutnya gula adalah punca kepada pelbagai penyakit kronik kerana gula adalah karbohidrat tulen tanpa vitamin dan zat mineral. Oleh itu, gula akan ‘melahap’ vitamin dan garam mineral yang sangat berharga daripada tubuh manusia semasa proses metabolisma tubuh.

Kajian sains terbaru yang dilaporkan dalam jurnal perubatan ‘Neuroscience’, pada tahun 2008 menunjukkan gula mempunyai sifat seperti bahan ‘ketagihan’ yang menyebabkan penggunanya amat susah meninggalkan pengambilan gula setiap hari.Labih banyak lagi kajian yang serupa telah dilaporkan dalam pelbagai jurnal perubatan yang boleh dirujuk pada laman PubMed di internet. Kajian juga menunjukkan secara perlahan-lahan kemanisan gula akan semakin kurang dirasakan oleh lidah yang bermaksud pengguna gula akan memerlukan lebih banyak gula secara beransur-ansur untuk mendapat kemanisan yang sama.

Terdapat juga pelbagai jenis gula sintetik yang mempunyai indeks glisemik (GI) yang sangat tinggi seperti Maltodekstrin yang banyak digunakan dalam makanan dan minuman proses yang ada dalam pasaran sekarang. Pengambilan gula sintetik ini adalah juga merbahaya kepada kesihatan kita.Oleh kerana itu tidak hairanlah masalah diabetis atau kencing manis amat tinggi sekarang.



Menurut survey oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang dilaporkan NHMS I, pada tahun 1986 kadar pesakit diabetis adalah 6.9 peratus telah meningkat dalam laporan NHMS III kepada 14.9 peratus pada tahun 2006. Ianya selari dengan peningkatan penggunaan gula di Malaysia dari 85gm sehari pada tahun 1985 kepada 105gm sehari pada 2002. Jelas lah disini , peningkatan penggunaan gula di Malaysia adalah berkadar lansung dengan peningkatan jumlah pesakit diabetis atau kencing manis.



Seiring dengannya adalah peningkatan masalah obesiti dan penyakit kronik lain seperti sakit jantung, masalah kolesterol, darah tinggi dan sebagainya.Gula yang berlebihan yang diambil akan disimpan sebagai lemak didalam tubuh manusia. Kadang-kadang kita terkeliru kerana menyangka lemak atau minyaklah menjadi punca kepada masalah kegemukan.Persoalan samada menaikkan harga gula akan menyebabkan pengurangan penggunaan gula masih boleh diperdebatkan, yang pastinya pendidikan tentang bahaya gula lebih penting untuk mendidik masyarakat tentang risiko kesihatan akibat pengambilan gula yang berlebihan.

Buah-buahan mempunyai nilai GI yang rendah


Jesteru itu, mengurangkan penggunaan gula adalah cara terbaik untuk mengurangkan risiko kita mendapat penyakit kronik. Beransur-ansur kurangkanlah penggunaan gula dalam pemakanan harian kita hingga ke paras yang disyorkan iaitu kurang dari 10 sudu gula sehari. Jika anda suka kepada rasa manis, ambillah buah-buahan yang manis yang lebih sihat disamping itu ianya juga kaya dengan vitamin dan garam mineral yang amat penting untuk fungsi tubuh manusia. Didiklah ‘lidah’ anda untuk mengurangkan rasa suka kepada benda-benda manis.Kurangkan pengambilan makanan ‘proses’ untuk mengurangkan pengambilan gula tersembunyi. Kurangkanlah gula demi untuk kesihatan yang baik.

Wallahualam



Dr Norman Mohd Norawi

1 comment:

Anonymous said...

Salam,doktor..saya ucapkan tahniah kepada doktor atas blog yang memberi info2 kesihatan untuk masyarakat am dunia dan khususnya di Malaysia..terutama dari sudut pemakanan,kerana Malaysia terkenal dengan pelbagai jenis makanan.Saya syorkan doktor keluarkan satu artikel bertajuk stevia dan kelebihan pada masa2 akan datang.