Saturday, October 13, 2012

Omega 3 & Kesihatan Jantung Anda

Sejarah Omega 3


Omega 3 dijumpai oleh ahli sains pada tahun 1923, yang pada mulanya disangka sejenis vitamin. Ini kerana, pemerhatian yang dibuat menunjukkan gangguan pada tumbesaran berlaku apabila kurangnya bahan ini. Oleh itu, Omega 3 dinamakan sebagai vitamin F kerana ahli sains mendapati ia adalah nutrien penting (essential nutrient) yang tidak boleh dihasilkan oleh tubuh manusia.

Pada tahun 1930, dua orang saintis, Burr dan Miller telah mengkaji secara mendalam tentang Omega 3 dan telah mengklasifikasikannya semula sebagai asid lemak dan bukannya vitamin F sebagaimana yang telah diandaikan sebelum ini.
Pada tahun 1992, seorang ahli sains bernama William E.M Lands, telah menulis artikel berkenaan Omega 3 dan telah mula menarik minat lebih ramai lagi ahli sains untuk mula mengkaji dengan lebih mendalam tentang Omega 3.
Omega 3 mula menarik minat saintis sejak 20 tahun dahulu kerana pemerhatian mereka mendapati masyarakat Inuit atau Eskimo mempunyai kadar penyakit jantung yang amat rendah berbanding dengan masyarakat Eropah dan Amerika. Hasil kajian sains mendapati pemakanan masyarakat Eskimo ini kaya dengan lemak dan minyak ikan, di samping itu mereka amat kurang memakan sayur-sayuran. Setelah kajian lanjut dibuat ke atas fenomena ini, maka ahli sains merumuskan bahawa kandungan makanan orang Eskimo ini sebenarnya amat kaya dengan Omega 3.

Eskimo mempunyai kadar sakit jantung yg rendah

Ikan sumber utama Omega 3

Seterusnya, pelbagai pemerhatian dibeberapa tempat didunia dilakukan dan didapati penduduk di Okinawa, Jepun dan Kepulauan Crete, Mediterranean juga mempunyai kadar penyakit jantung yang lebih rendah berbanding masyarakat di barat.Penduduk di sini juga mempunyai amalan pemakanan ikan yang tinggi.
Fenomena ini menjadi suatu ‘misteri’ yang amat menarik dan ia seolah-olah ‘menentang arus’ dan berbeza dengan pandangan umum bahawa pemakanan yang tinggi dengan lemak menjadi punca kepada penyakit jantung. Hakikatnya terdapat sejenis lemak yang baik untuk kesihatan jantung iaitu Omega 3.

Apa itu Omega 3?


Omega 3 tergolong dalam kumpulan asid lemak tak tepu yang penting (essential unsaturated fatty acids) yang mempunyai ikatan karbon-karbon berkembar pada kedudukan n-3 iaitu pada hujung methyl dalam molekulnya. Oleh kerana itu ia digelar Omega 3.

Omega 3 terdiri daripada tiga jenis asid lemak utama iaitu:

1. Eicosa Pentanoic Acid (EPA)

2. Docosa Hexanoic Acid (DHA)

3. Alpha Linolenic Acid (ALA)


Tentu anda selalu melihat singkatan EPA dan DHA pada label tin-tin susu yang anda beli di pasaran. Kini terjawablah sudah persoalan anda itu bahawa susu-susu formula itu mengandungi tambahan Omega 3. Omega 3 juga ditambah didalam susu-susu formula kerana ianya juga mempunyai kesan positif kepada perkembangan otak bayi dan kanak-kanak. Kerana itulah susu ibu adalah sumber yang sangat kaya dengan Omega 3.

susu formula utk bayi ditambah dgn Omega 3


Asid lemak adalah sebahagian daripada komposisi yang membentuk dinding sel-sel dalam tubuh manusia. Ia mengawal pergerakan keluar dan masuk bahan kimia ke dalam sel. Ia juga mengawal bagaimana sesuatu jenis sel berkomunikasi di antara satu sama lain.

Dinding sel yang kaya dengan asid lemak Omega 3 adalah lebih cair dan berfungsi dengan lebih efisien. Asid lemak omega juga bertanggungjawab dalam penghasilan hormon dalam badan manusia dengan menghasilkan bahan yang dipanggil eicosanoids. Eicosanoids yang dihasilkan oleh Omega 6 menyebabkan keradangan dan menyempitkan saluran darah yang menyebabkan darah beku. Eicosanoids yang dihasilkan oleh Omega 3 pula mempunyai kesan yang bertentangan iaitu anti keradangan, mengurangkan darah beku dan mengembangkan saluran darah.



Bukti saintifik kebaikan Omega 3 dengan kesihatan jantung.



Banyak kajian saintifik telah membuktikan kaitan yang amat kuat di antara Omega 3 dengan kesihatan jantung yang baik.
Pada 8 September 2004, USFDA iaitu badan yang bertanggungjawab menjaga hal-ehwal perubatan di Amerika Syarikat telah mengeluarkan kenyataan yang menyokong Omega 3 (EPA & DHA) sebagai satu supplement yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung koronari.

Antara kebaikan Omega 3 untuk kesihatan jantung adalah:

• Mengurangkan risiko insiden serangan jantung

• Mengurangkan risiko kematian akibat serangan jantung

• Mengurangkan risiko mendapat denyutan jantung tak menentu (arrythmia)

• Mengurangkan sakit dada Angina pada pesakit yang mempunyai masalah saluran jantung tersumbat (Ischaemic heart disease)

• Mengurangkan risiko serangan jantung kali kedua bagi pesakit yang pernah mendapat serangan jantung sebelum ini.



Terdapat banyak kajian saintifik yang dilaporkan dalam jurnal-jurnal perubatan yang telah membuktikan kebaikan omega 3 kepada kesihatan jantung. Banyak kajian yang mengkaji pengambilan makanan laut terutamanya ikan dapat mengurangkan risiko penyakit jantung.

Pada tahun 1999, pengkaji dari GISSI-Prevenzione melaporkan dalam jurnal perubatan The Lancet, mengenai satu kajian yang dijalankan melibatkan 11,324 pesakit yang telah mendapat serangan jantung (myocardial infarction). Kesemua pesakit ini telah diberikan Omega 3 sebanyak 1,000mg setiap hari dan kesimpulan dari kajian ini menyatakan terdapat pengurangan kadar kematian akibat serangan jantung kali kedua sebanyak 45 peratus. Kesan baik pengambilan Omega 3 diamalkan setiap hari didapati selepas tiga bulan dan seterusnya.

Suplemen Omega 3


Dalam satu lagi kajian di Amerika Syarikat yang dipanggil DART Study (The Diet and Reinfarction Trial), hubung kait antara pemakanan ikan yang kaya dengan Omega 3 dengan pencegahan serangan jantung untuk kali kedua adalah sangat berkait rapat. Dalam kajian ini seramai 1,015 pesakit dinasihatkan memakan ikan sekurang-kurangnya dua hidangan seminggu dan seramai 1,018 pesakit tidak dinasihatkan begitu. Semua pesakit yang mengambil bahagian dalam kajian ini telah mendapat serangan jantung buat kali pertama. Selepas dua tahun, kajian ini mendapati terdapat penurunan sebanyak 29 peratus di dalam kadar kematian di kalangan pesakit yang mendapat nasihat supaya memakan ikan tersebut. Ini adalah antara kajian terawal yang mengkaji hubungan di antara pemakanan ikan yang kaya dengan Omega 3 dengan kadar serangan jantung buat kali kedua, iaitu hanya dengan menambah ikan dalam pemakanan mereka. Cuma dua hidangan seminggu boleh mengurangkan kadar sakit jantung. Kajian-kajian selanjutnya mendapati , pengambilan supplemen Omega 3 juga menghasilkan kesan yang baik untuk kesihatan jantung.

Satu analisa sebelas kajian rambang terkawal ( Randomised Controlled Trial) yang dijalankan di antara
tahun 1966 hingga 1999, yang melibatkan seramai 7,951 pesakit menunjukkan pengurangan yang ketara
dalam kadar kematian mengejut akibat serangan jantung dengan pengambilan asid lemak Omega 3 secara
konsisten.

Pada tahun 2006, terdapat dua jurnal perubatan utama di Amerika Syarikat iaitu American Journal of Clinical Nutrition dan Journal of American Medical Association (JAMA) telah memberikan ulasan yang positif tentang kelebihan Omega 3. Ia menyatakan bahawa, berdasarkan laporan kajian yang telah dijalankan di seluruh dunia, terdapat pengurangan yang ketara dalam jumlah kadar kematian keseluruhan dan insiden penyakit serangan jantung (myocardial infarction) di kalangan mereka yang mengamalkan pemakanan banyak ikan atau minyak ikan, ataupun mengambil supplement Omega 3 setiap hari.


Makanlah ikan setiap hari untuk kesihatan jantung anda

Omega 3 amat penting untuk mendapat kesihatan jantung yang baik. Ia hanya boleh memberikan kesan yang baik jika diambil dengan makanan atau supplement. Penggunaan minyak masak yang kaya dengan Omega 3 juga boleh membekalkan keperluan harian seseorang sebagai contohnya minyak canola, minyak flaxseed, minyak kacang soya. Kacang walnut juga adalah sumber yang kaya dengan Omega 3. Disamping itu pengambilan makanan yang ditambah dengan omega 3 seperti telur dan susu juga boleh membantu anda mendapat keperluan Omega 3 harian.

Pengambilan ikan sebagai sumber protein dalam makanan adalah satu cara yang terbaik untuk mendapat khasiat Omega 3 kerana ikan adalah sumber Omega 3 yang paling kaya. Untuk cara yang lebih mudah makanlah kapsul atau suplemen Omega 3 yang banyak terdapat dalam pasaran sekarang. Makanlah Omega 3 setiap hari untuk kesihatan jantung anda. Usaha berterusan dan doa setiap hari, Insya-Allah kesihatan anda akan terpelihara.



Wallahualam.



Dr Norman Mohd Norawi

MBBS

** Ini adalah artikel penuh yg dihantar ke Harian Metro..

6 comments:

Anonymous said...

I really loνe your ѕitе.. Eхсellent cοlors & theme.
Dіd уou mаke thіs web
site уourself? Ρlease гeply back аs I'm planning to create my very own website and would love to know where you got this from or exactly what the theme is named. Many thanks!

Have a look at my web blog ... garden centers south jersey

Zuhaini said...

Wah.. menarik artikel ni... tq!

Zuhaini


My-Alia.com

Nurul Shuhada said...

Menarik artikel nie utk share tentang omega 3.. thanks for the info.. ;-) .. pls review my blog yer.. nurulimansupplement.blogspot.com

nafisahnanas said...

wahh sgt bets info ttg omega..skrg saya dapat ilmu tambahan nk promote omega guard shaklee yg terkenal dgn penuh kebaikan dan tulen..mohon share yea..

Noru Azlina Nasir said...

Sangat suka baca penulisan dr. tq yer.. saya share info ni dalam blog saya
http://duniakecantikankesihatan.blogspot.com/

Zaza Zahiah said...

banyak info berguna untuk kesihatan.. tq doktor atas perkongsian

www.szcorner.blogspot.com