Masalah kegemukan telah melanda masyarakat kita seiring dengan arus kemodenan sekarang. Masalah ini juga melanda kepada kanak-kanak dan remaja. Di Amerika Utara, masalah ini semakin parah sehingga menjadi seolah-olah satu wabak yang sukar dikawal. Natijah dari masalah kegemukan ini adalah peningkatan kadar penyakit-peyakit seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, strok, kanser dan sebagainya apabila mereka dewasa. Masalah kurang keyakinan dan rendah diri juga amat biasa berlaku kepada kanak-kanak gemuk yang menyebabkan mereka lebih suka menyendiri dan kurang melakukan aktiviti luar yang aktif bersama rakan sebaya.
Berdasarkan kajian di USA, pencegahan awal masalah kegemukan kanak-kanak akan membantu menurunkan kadar penyakit-penyakit tadi di masa hadapan. Oleh itu, adalah amat penting untuk kita melakukan pencegahan kegemukan dikalangan kanak-kanak sekarang sebelum mereka menjadi dewasa. Kajian juga menunjukkan, kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan akan menjadi dewasa yang gemuk juga di masa hadapan jika tiada sebarang langkah pencegahan.
Diantara punca masalah kegemukan dikalangan kanak-kanak adalah kerana kanak-kanak zaman moden tidak lagi aktif seperti duhulu . Mereka terlalu banyak menonton televisyen, bermain permainan video dan juga budaya makanan segera. Jika kita lihat budaya kanak-kanak sekarang, amat jarang kita lihat mereka bermain diwaktu petang dengan permainan tradisi seperti main ting-ting, gasing, guli, konda-kondi, rounders, main getah dan sebagainya.
Kaedah terbaik mencegah masalah kegemukan ialah mengawal jumlah makanan yang diambil setiap hari dan juga menggalakkan kanak-kanak melakukan aktiviti fizikal setiap hari. Berikut adalah beberapa tips yang boleh dilakukan oleh ibubapa untuk mengawal masalah berat badan anak-anak mereka.
1. Berikan contoh pemakanan yang baik
Ibubapa adalah contoh terbaik untuk anak-anak mereka. Jika ibubapa menunjukkan contoh pemakananan yang tidak sihat , maka anak-anak akan mengikut contoh yang ditunjukkan oleh ibubapa. Kanak-kanak akan memerhatikan apa yang dilakukan oleh ibubapa dan bukannya apa yang dikatakan oleh ibubapanya. Amalkan pemakanan yang sihat dan juga tidak makan secara berlebih-lebihan patut diamalkan di rumah. Jangan membazir makanan dengan menyediakan makanan yang berlebihan-lebihan dirumah. Sebagaimana firman Allah dalam Surah Al’Araf , ayat 31:
“Makanlah dan minumlah, dan janganlah kamu berlebih-lebihan, Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang berlebih-lebihan”
2. Hanya menyediakan makanan sihat dirumah
Pemakanan sihat yang kaya dengan makanan natural seperti buah-buahan, sayur-sayuran, makanan berserat tinggi, patut diamalkan dirumah. Ibubapa kena mulakan dengan makan sayur-sayuran dan ulam-ulaman dalam makanan seharian. Contoh ini akan diikuti oleh anak-anak mereka. Adalah lebih baik ibubapa masak sendiri untuk makanan seharian dirumah berbanding makan diluar. Ibubapa perlu menambahkan ilmu tentang pemakanan sihat dan cara menyediakan pemakanan sihat setiap hari. Kurangkan penggunaan gula dalam minuman mereka dan kurangkan minuman bergas, kordial, jus, minuman coklat, minuman 3 dalam satu dan lain-lain lagi yang tinggi kandungan gulanya.
3. Jangan memaksa anak-anak makan jika mereka tidak mahu makan
Ada sesetengah ibubapa amat suka melihat anak-anak mereka kelihatan montel dan tembam semasa kecil. Kadang-kadang ada yang suka memaksa aak-anak makan berlebihan. Akibatnya , anak-anak ini terdidik untuk makan secara berlebih-lebihan. Tabiat ini akan kekal sehingga kanak-kanak ini besar hingga dewasa. Oleh itu , janganlah memaksa anak-anak anda makan berlebih-lebihan. Sediakan makanan sihat dan galakkan mereka makan mengikut selera makan mereka secara terkawal.
4. Galakkan anak-anak makan buah-buahan
Jadikan buah-buahan sebagai ‘snek’ harian. Jadikan makan buah-buahan sesuatu yang menyeronokkan dengan menghidangkan kepada anak-anak selau semasa menonton televisyen atau sewaktu aktiviti santai keluarga. Ibubapa kena mulakan dengan mengamalkan makan buah-buahan setiap hari, barulah anak-anak akan mengikuti contoh anda. Laburkanlah sedikit wang anda dengan membeli buah-buahan walaupun agak mahal kerana faedahnya kepada kesihatan masa depan anak anda tidak ternilai.
5. Kurangkan membeli makanan proses
Ada ibubapa yang sangat sibuk mengambil jalan mudah memberikan makanan proses seperti mee segera, biskut, roti putih, jajan, kek, gula-gula sebagai makanan seharian kepada anak-anak. Kesannya , anak-anak akan menjadi seorang yang suka makan makanan manis dan tidak berkhasiat. Terdapat banyak kajian menunjukkan makanan proses yang kaya dengan karbohidrat dan pelbagai pengawet adalah punca kepada masalah kegemukan, kolesterol dan kanser. Oleh itumenjadi tanggungjawab ibubapa memberikan makanan berkhasiat yang terbaik untuk anak-anak mereka dan tidak mengambil jalan mudah dalam penyediaan makanan mereka.
6. Jangan jadikan makanan segera sebagai hadiah
Terdapat juga sesetengah ibubapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya akan ‘membayar’ semula kesibukan mereka apabila mereka berpeluang bersama anak-anak mereka dengan membawa mereka makan ke restoran makanan segera. Ada juga ibubapa yang menjadikan makan ke restoran makanan segera sebagai hadiah harijadi atau berjaya dalam peperiksaan untuk anak-anak mereka. Jika anda ingin makan luar, pilihlah restoran yang menyediakan makanan sihat kepada anak-anak anda. Adalah lebih baik anda menghadiahkan basikal, bola, skateboard atau raket badminton yang boleh digunakan sebagai satu aktiviti riadah yang berfaedah untuk kesihatan.
7. Galakkan anak-anak melakukan aktiviti riadah setiap hari
Ibubapa harus meluangkan masa bersama anak-anak mereka pada waktu petang atau hujung minggu dengan melakukan aktiviti riadah seperti bermain badminton, berbasikal dan berjoging bersama anak-anak. Anak-anak akan merasa seronok jika dapat mengayuh basikal bersama-sama ibubapa mereka dan aktiviti ini akan merapatkan hubungan kekeluargaan yang harmoni dan secara tidak lansung akan menurunkan berat badan. Aktiviti-aktiviti sihat ini boleh dilakukan disekeliling rumah anda dan tidak perlu terlalu lama, tetapi kesannya amat baik untuk kesihatan keluarga anda secara umumnya.
Jadikanlah gaya hidup sihat sebagai amalan keluarga anda, mudah-mudahan keluarga anda akan kekal sihat ke akhir hayat. InsyaAllah.
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, FAGE, MScAAARM
2 comments:
Perlu dipantau pemakanan anak2 ini, dari sajian pertama dia setiap hari.
Salam..saya nak tanya bagaimana nak atasi..anak saya lelaki berumur 7tahun..perut dia gemuk,tetapi perut dia sgt bunci dan mengadu sakit perut...bagaimana saya nak atasi masalah ini...tq Dr.
Post a Comment