Wednesday, February 27, 2013

Kesilapan Dalam menurunkan berat badan


Artikel Harian Metro 27 Feb 2013

Masalah berat badan berlebihan adalah suatu masalah yang semakin serius dalam masyarakat kita di Malaysia hari ini. Ramai yang mengambil pendekatan mengurangkan makan dan bersenam untuk menurunkan berat badan. Tanpa kita sedari, ada yang membuat kesilapan dalam usaha menurunkan berat badan kita. Diantara kesilapan-kesilapan yang selalu dilakukan oleh orang ramai adalah:

Menurunkan berat badan hanya dengan bersenam

Senaman amat penting untuk menurunkan berat badan, tetapi dengan hanya bergantung kepada senaman semata-mata tanpa mengawal pemakanan adalah satu usaha yang sia-sia. Kajian mendapati seseorang yang hanya bersenam tanpa mengawal jumlah makanan dan kalori makanan yang dimakan akan menyebabkan berat badan amat susah diturunkan malahan berat badan akan bertambah. Ini adalah kerana ramai orang yang mengira kalori yang dibakar apabila bersenam dan menyangka bahawa dengan kalori yang telah dibakar maka tidak perlu lagi mengawal jumlah makanan yang diambil. Jika anda ingin menurunkan berat badan secara maksimum, maka jumlah pemakanan seharian masih perlu di kawal jumlahnya walaupun anda bersenam.


Makan produk yang ‘rendah lemak’

Kita selalu memilih makanan atau produk yang dilabel sebagai ‘rendah lemak’ dan merasakan produk-produk ini baik untuk kesihatan dan boleh membantu menurunkan berat badan. Hakikatnya produk-produk ini sebenarnya mempunyai nilai kalori yang tinggi kerana kandungan gula yang tinggi. Pengeluar produk-produk ini mengurangkan lemak dalam produk mereka dan tetapi mereka akan menambah kandungan gula untuk membuatkan produk-produk ini lebih sedap.Kajian sains mendapati lemak mono tak tepu (kekacang, avocado, minyak zaitun) dan lemak omega 3 dari ikan amat baik untuk menurunkan berat badan.


Minum minuman ‘diet’ .

Kajian mendapati pengambilan minuman ‘diet’ akan menyebabkan masalah berat badan dan kencing manis walaupun kalorinya lebih rendah. Satu kajian di Texas Health Science Center di San Antonio, USA mendapati seseorang yang mengambil minuman ‘diet’ akan menghadapi sehingga 70% peningkatan saiz pinggang daripada seseorang yang mengambil minuman biasa. Dalam kajian yang sebelumnya juga mendapati, risiko obesiti bertambah sehingga 41% untuk penggemar minuman ‘diet’ ini. Menurut pakar pemakanan , fenomena ini berlaku kerana pemanis tiruan yang rendah kalori dalam minuman ‘diet’ ini akan meningkatkan selera makan dan menghalang otak mendapat ‘isyarat kenyang’ apabila perut telah penuh. Minum air mineral adalah lebih baik untuk menurunkan berat badan.


Terlalu kerap menimbang berat badan

Seseorang yang ingin menurunkan berat badan kadangkala terlalu ‘obses’ dengan nombor pada alat penimbang. Ini sebenarnya boleh menjadi suatu ‘penghalang’ kepada seseorang yang ingin menurunkan berat badan. Berat badan bukanlah kayu ukur kepada kesihatan anda. Berat badan yang ditimbang dengan alat penimbnag tidak membezakan berat otot, air , lemak dan makanan dalam perut anda. Jika anda terlalu kerap menimbang berat badan, anda akan menjadi lebih cepat kecewa jika mendapati berat badan anda tidak turun atau turun dengan jumlah yang amat sedikit atau lebih buruk lagi berat badan anda bertambah pula.


Terlalu yakin dengan kemampuan diri

Terlalu yakin dengan kemampuan diri untuk berdiet dan mengikut seratus peratus pemakanan sihat sepanjang masa. Sikap seperti ini akan menyebabkan anda menjadi cepat kecewa bila ter’lanjur’ makan makanan tidak sihat. Sebagai manusia biasa akan ada masanya , kita gagal melawan nafsu makan dan ‘termakan’ makanan yang tidak sihat, janganlah kecewa. Peruntukan 20% dalam jumlah makanan anda untuk sesekali ‘termakan’ makanan yang kurang sihat dan pastikan dalam 80% corak pemakanan anda adalah pemakanan yang sihat. Bersikap ‘moderate’ seperti ini akan memastikan berat badan yang sihat kekal lebih lama dan lebih praktikal dalam kehidupan seharian.



Terlalu berpantang/ber’diet’ melampau.

Walaupun terlebih makan adalah diantara punca berat badan berlebihan, tetapi janganlah anda makan terlalu sedikit dan berpantang keterlaluan sehingga anda menjadi terlalu kurus dan mendapat masalah kekurangan zat makanan. Jika anda berlapar terlalu kerap , maka badan anda akan berubah kepada ‘mode kebuluran’ (starvation mode). Metabolisma badan akan turun, dan segala yang anda makan walaupun sedikit akan disimpan sebagai ‘lemak’ dan ‘otot’ and menjadi kecut. Apabila anda tidak mampu meneruskan ‘berdiet’ yang melampau seperti ini, maka anda akan mula makan tanpa kawalan kerana selera bertambah-tambah dan semuanya akan menjadi lemak. Berat badan anda akan bertambah dengan sangat cepat dan menjadi lebih gemuk dari sebelumnya. Akhirnya , anda berdiet semula, dan kitaran ini akan berterusan dan anda akan gagal menurunkan berat badan anda.



   

Terlalu cepat berputus asa

Jika anda gagal untuk kali pertama dalam percubaan menurunkan berat badan janganlah terlalu cepat mengalah. Kajian mendapati seseorang yang hanya mencuba untuk menurunkan berat badan akan mendapat faedah kesihatan walaupun gagal menurunkan sedikitpun berat badannya.         Buku saya “8 Rahsia menguruskan badan tanpa berdiet” adalah diantara buku yang boleh anda baca untuk mendapat maklumat yang tepat untuk menurunkan berat badan dengan cepat dan sihat, dapatkan dari saya dengan email: drnormanmlk@yahoo.com.my.



Jadikanlah matlamat untuk mendapat kesihatan yang baik sebagai sebab utama menurunkan berat badan kerana kesihatan yang baik akan terpancar sebagai kecantikan yang sebenarnya.


 
Wallahualam,


Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, FAGE, MScAAARM

2 comments:

Unknown said...

betul tu..selalunya sya suka buat yg cepat sangat putus asa n berpantang..tapi bila berpantang lama2 tak tahan akhirnya makan juga makanan yg dipantang..

Diver Mom said...

Betul.. sometimes masyarakat sekarang nak result yang cepat. tu yang selalu putus asa kalau lambat dapat result dalam kuruskan badan tu..

Zuhaini


My-Alia.com