Asid lemak ‘trans’ terhasil daripada minyak tumbuhan yang ditambah hydrogen melalui proses ‘hidrogenasi’ untuk menjadikan ianya pepejal seperti marjerin . Tujuan proses ini dilakukan adalah untuk menambah kestabilan makanan dan melambatkan tempoh makanan itu menjadi rosak. Malangnya proses ini menyebabkan terhasilnya asid lemak ‘trans’ ini.
Banyak kajian sains yang menunjukkan pemakanan yang tinggi dengan asid lemak trans meningkatkan paras kolesterol tidak baik atau kolesterol LDL dan merendahkan paras kolesterol baik atau kolesterol HDL. Oleh kerana itu ianya juga meningkatkan risiko mendapat masalah penyakit jantung koronari, darah tinggi, stroke dan kolesterol berlebihan. Terdapat sesetengah pakar pemakanan berpendapat bahawa pengambilan asid lemak trans ini adalah lebih buruk daripada pengambilan lemak tepu terus dari sumber haiwan.
Dalam zaman moden ini, penggunaan asid lemak trans ini amat berleluasa hingga hampir mustahil untuk seseorang mengelak daripada memakannya setiap hari. Hampir semua makanan proses menggunakan asid lemak trans seperti mee segera, biskut, pizza, kuih-muih, kek , pastri, kerepek, donut, kentang goreng, jajan dan sebagainya. Kebanyakan makanan-makanan ini menggunakan marjerin atau mentega.
Makanan segera seperti ‘burger’ yang dijual ditepi jalan atau direstoran makanan segera juga mengandungi asid lemak trans yang tinggi kerana ia digoreng menggunakan marjerin atau mentega. Disamping itu ia juga menggunakan banyak perasa dan bahan pengawet. Anda patut kurangkan pengambilan makanan seperti ini kerana ia boleh menyebabkan masalah kolesterol yang tinggi.
Untuk meninggalkan lansung makanan yang mengandungi asid lemak trans ini adalah agak susah dan hampir mustahil bagi kita yang hidup di zaman moden sekarang. Cara yang terbaik ialah mengurangkan pengambilannya ketahap yang paling minimum yang mungkin. Oleh kerana itu elakkan dan kurangkan pengambilan makanan proses semaksima yang mungkin. Janganlah jadikan makanan segera, kerepek sebagai ‘snek’ atau makan ringan dalam tabiat seharian. Makanlah lebih banyak makanan asli dan ‘natural’ seperti ulam-ulaman, nasi, buah-buahan, roti berserat penuh, sayur-sayuran dan protin. Kurangkan makanan bergoreng atau makanan segera yang digoreng dalam (deep fried). Lebihkanlah pengambilan makanan yang masak dengan cara dibakar, kukus dan rebus.
Buah-buahan dan sayur-sayuran amat baik untuk kesihatan
Ikan Bakar lebih baik dari makanan segera seperti Burger
Bacalah pembalut plastik makanan segera yang kita beli dan telitilah pada labelnya dan perhatikan perkataan seperti ‘ hydrogenated vegetable oils’ atau ‘partially hydrogenated vegetable oils’ dan sebagainya. Ini adalah asid lemak ‘trans’ yang terkandung dalam makanan tersebut. Terdapat sesetengah pengeluar makanan telah mula menggunakan minyak yang tidak mengandungi asid lemak ‘trans’ . Jika boleh gunakanlah marjeri n yang tidak mengandungi asid lemak trans atau ‘nonhydrogented’ yang dijual di pasaran.
Jagalah pemakanan anak-anak anda dengan tidak menggalakkan pengambilan makanan segera dan kerepek atau jajan yang mengandungi asid lemak trans ini. Makanlah lemak yang sihat dengan banyak makan ikan yang mengandungi kandungan asid lemak omega 3 yang lebih baik untuk kesihatan. Sikap pemakanan yang sihat harus dipupuk sejak dari kecil demi untuk kesihatan yang lebih baik apabila telah dewasa. Galakkan anak-anak makan buah-buahan yang jauh lebih sihat sebagai ‘snek’ harian atau sewaktu bersantai bersama keluarga.
Dengan mengurangkan makan makanan yang tinggi dengan asid lemak trans maka kita boleh mengurangkan masalah kolesterol berlebihan.
Kolesterol berlebihan ini sememangnya telah terbukti dalam kajian sains menjadi punca pelbagai penyakit zaman moden seperti darah tinggi, strok, serangan jantung dan sebagainya. Insyaallah hidup anda akan lebih sihat dengan mengamalkan pemakanan yang sihat.
Dr Norman Mohd Norawi
(MBBS, FAGE, MScAAARM)
Pengamal Perubatan Am,
Pengkhususan Aesthetik, Anti-Aging & Perubatan Regeneratif
No comments:
Post a Comment