Hakikatnya , jika makan adalah punca kolesterol yang tinggi , maka cara terbaik untuk kita mengawal paras kolesterol ialah dengan makan makanan yang boleh menurunkan paras kolesterol ini. Terdapat banyak kajian sains yang telah dilaporkan dalam jurnal-jurnal perubatan yang membuktikan pemakanan ikan boleh membantu menurunkan paras kolesterol darah.
Rasulullah SAW bersabda tentang laut,"Airnya mensucikan dan halal bangkainya."
(Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, an-Nasa-ie, Ibnu Majah, dan Abu Dawud)
Jelas disini terbukti bagaimana benarnya sabda Nabi Muhammad SAW yang mempunyai rahsia dan hikmah yang akhirnya terbukti secara saintifik.
Makanan laut bukanlah punca kolesterol !!
Hasil pemerhatian awal saintis mendapati masyarakat Inuit atau Eskimo mempunyai kadar penyakit jantung yang amat rendah dan paras kolesterol yang lebih rendah berbanding masyarakat biasa di Bandar di USA dan Eropah. Sedangkan, diet pemakanan masyarakat Eskimo ini amat tinggi dengan lemak dan minyak, walaupun mereka amat kurang memakan sayur-sayuran. Setelah kajian dijalankan didapati kandungan makanan orang Eskimo ini amat tinggi dengan asid lemak Omega 3.
Pemerhatian yang serupa bagi penduduk di Okinawa, Jepun dan penduduk di Kepulauan Crete, Mediterranean juga mempunyai kadar penyakit jantung yang lebih rendah berbanding masyarakat di barat. Hasil kajian juga mendapati penduduk di kedua-dua tempat ini makan ikan dan makanan laut lain seperti udang ,ketam, sotong dengan banyak. Kajian saintifik pula membuktikan bahawa makanan laut ini amat kaya dengan Omega 3.
Okinawan juga mengamalkan senaman dengan Seni Karate
Fakta mengenai kajian sains dan faedah kesihatan omega 3 ini telah saya tulis didalam buku saya “ Omega 3: Fahami faedahnya kepada kesihatan anda”
Ikan mempunyai banyak lemak didalamnya. Kadang-kadang kita terlalu takut dengan istilah ‘lemak’ hingga kita menyangka semua lemak adalah sama dan boleh meningkat paras kolesterol kita. Sebenarnya, lemak ikan adalah contoh lemak yang ‘sihat’ dan amat baik untuk kesihatan. Kajian telah membuktikan lemak ikan amat kaya dengan asid lemak ‘Omega 3’ yang telah terbukti boleh mengurangkan risiko sakit jantung koronari.
Omega 3 menurunkan paras trigliserida , kolesterol ‘jahat’ iaitu LDL dan menaikkan paras kolesterol ‘baik’ iaitu HDL. Kajian di barat menunjukkan ikan yang berlemak seperti ikan salmon, tuna, sardin, makerel dan trout mempunyai kandungan omega 3 yang amat tinggi. Secara teorinya saintis berpendapat, omega 3 akan memperlahankan pemendapan kolesterol pada dinding saluran darah dan mengurangkan ‘inflamasi’ mikro di seluruh tubuh manusia. Oleh kerana itu pemakanan ikan setiap hari amat digalakkan sebagai sebahagian dari cara pemakanan yang sihat yang boleh menurunkan paras kolesterol.
Bukti kajian sains tentang ikan dan kesihatan jantung
Banyak kajian telah dijalankan menunjukkan kesan baik pemakanan ikan dengan kesihatan jantung. Dalam satu laporan yang diterbitkan dalam The American Journal of Clinical Nutrition pada tahun 1997, pengkaji mendapati dengan pengambilan omega 3 dengan makan ikan setiap hari menurunkan paras trigliserida darah sehingga 25%-30%.
Satu kajian di Amerika Syarikat yang dipanggil DART Study 2. (The Diet and Reinfarction Trial), mengkaji hubung kait antara pemakanan ikan yang kaya dengan Omega 3 dengan pencegahan serangan jantung untuk kali kedua. Hasil kajian ini mendapati terdapat penurunan sebanyak 29 peratus di dalam kadar kematian di kalangan pesakit yang makan ikan setiap hari.
Makan lah ikan setiap hari untuk kesihatan jantung dan menurunkan paras kolesterol darah. Semua jenis ikan mengandungi kandungan omega 3 yang tinggi berbanding makanan lain. Jika anda tidak mahu makan ikan setiap hari, maka pengambilan suplemen omega 3 juga membantu mendapatkan sumber omega 3 untuk menurunkan paras kolesterol.
Jika anda memilih untuk makan ikan, cara masak juga mempengaruhinya paras kolesterol anda juga menurut pakar pemakanan. Jangan menggoreng ikan secara ‘gorengan dalam’(deep fry) atau anda menggoreng dengan minyak sapi atau marjerin kerana ia adalah minyak ‘asid lemak trans’ yang boleh melawan kesan kebaikan omega 3 menurunkan paras kolesterol.
Cara masakan yang lebih baik adalah dengan cara memanggang, merebus, microwave dan stim ikan tersebut.Jika memilih untuk menggoreng, maka gorenglah dengan miyak yang sedikit. Penggunaan minyak zaitun sebagai minyak masak juga amat membantu menurunkan paras kolesterol.
Makan sandwich tuna dengan roti berserat penuh adalah satu contoh makanan yang amat baik menurunkan paras kolesterol.
Berapa banyak ikan yang perlu dimakan?
Mengikut kajian yang dibuat, cadangan pemakanan ikan yang baik adalah makan ikan sekurang-kurangnya dua hidangan seminggu. Cara terbaik ialah makan ikan yang kita suka. Makan ikan yang lebih kecil saiznya juga adalah baik kerana mengurangkan risiko pencemaran logam raksa (mercury) dan racun PCB yang mencemarkan daging ikan terutamanya ikan yang lebih besar seperti ikan tuna dan ikan jerung.
.
Wallahualam.
Dr Norman Mohd Norawi
(MBBS, FAGE, MScAAARM)
1 comment:
Dr. Norman, saya minta izin copy paste boleh x?
Post a Comment