Apabila kita bercakap tentang ‘ubat’ selalunya kita hanya terbayangkan tentang pil, capsul atau suntikan yang diberikan oleh doktor. Amat ganjil jika doktor memberikan kita preskripsi ‘senaman’. Hakikatnya senaman juga adalah satu bentuk ‘ubat’ untuk merawat penyakit. Konsep senaman sebagai satu ubat adalah sesuatu yang telah terbukti dari segi sains.
Banyak kajian menunjukkan senaman mampu mencegah dan merawat pelbagai jenis penyakit seperti penyakit jantung, kanser, stroke, darah tinggi, penyakit sekatan pulmonari (COPD) dan kencing manis. Dengan senaman, tulang , ligamen dan tendon menjadi lebih kuat dan ini akan mencegah masalah reput tulang (osteoporosis) dan reput sendi (osteoarthritis) disamping itu ia mencegah masalah terjatuh akibat lemah otot dan sendi.
"Marathon Singh" masih mampu berlari dalam London Marathon walaupun telah berusia 102 tahun
Dalam Islam, senaman adalah satu sunnah Nabi Muhammad SAW. Ada hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada Mukmin lemah. Oleh itu, berpegang teguhlah pada setiap kebajikan yang akan memberi manfaat.´
(Riwayat Ahmad,Muslim dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah r.a)
Rasulullah SAW adalah seorang yang aktif secara fizikal sehingga ke akhir hayatnya. Baginda Rasulullah, menyeru umatnya berusaha bersungguh-sungguh menjadi umat yang kuat dan sihat. Baginda menggalakkan umat Islam dengan riadah berkuda, memanah, bergusti berlumba lari dan berenang untuk menguatkan tubuh badan. Rasulullah sendiri menjadi panglima perang semasa dalam umur 50an, menunjukkan betapa cergas dan sihatnya Rasulullah dari segi fizikal.
Sukan memanah adalah sunnah- sekadar hiasan
Kesan psikoloji dan fisioloji senaman juga amat baik. Orang yang selalu bersenam akan lebih tenang, fokus dan tidak mudah stress. Fungsi psikologi dipertingkat dengan penampilan diri yang lebih menarik. Dengan bersenam , jantung dan paru-paru berfungsi secara optimum dan kekuatan serta daya tahan otot meningkat oleh kerana itu masalah di bahagian tulang belakang jarang dialami.
Senaman juga bertindak sebagai agen anti penuaan dengan cara mengurangkan tindak balas negatif akibat stress. Berat badan yang sesuai akan lebih mudah dikekalkan dan risiko penyakit jantung koronari berkurangan dengan bersenam secara konsisten. Orang yang selalu bersenam akan kelihatan lebih muda dari usianya.
Faedah kesihatan dengan senaman bukanlah khusus kepada sejenis penyakit sahaja, tetapi ia mampu mencegah pelbagai jenis penyakit. Bersenam juga boleh memberikan kesan positif kepada kesihatan adalah kerana stress rendah dan menurunkan berat badan. Senaman menaikkan ‘ mood ’ dan jati diri, meningkatkan tenaga, mencantik rupa fizikal dan membuatkan seseorang merasa lebih sihat secara umumnya. Bersenam adalah amalan untuk gaya hidup sihat.
Otak yang sihat dan cerdas adalah hasil dari tubuh badan yang sihat. Disamping pemakanan yang sihat , senaman dan aktiviti fizikal adalah satu cara yang utama dalam mengekalkan kesihatan yang optimum. Saya telah menulis secara lebih mendalam didalam buku saya “8 Rahsia menguruskan badan tanpa berdiet “ tentang konsep senaman dan aktiviti fizikal yang bagaimana membantu menurunkan berat badan.
Aktiviti fizikal seperti berjalan, berlari, berenang, menyangkul, berbasikal, bermain sukan, seni mempertahankan diri dan sebagainya adalah contoh yang baik untuk kita mengamalkan senaman setiap hari. Senaman akan menyebabkan pengaliran arah lebih lancar dan meningkatkan pengoksidaan sel-sel dalam tubuh manusia. Kekurangan oksigen boleh menyebabkan kita rasa tidak sihat, kurang bertenaga, mudah mengantuk, cepat lupa, susah fokus dan tidak bermaya setiap hari.
Senaman juga akan meningkatkan paras hormon dalam badan seperti hormon tumbesaran (Growth Hormon) , testosteron dan thyroid . Peningkatan paras hormon ini lah yang membantu menurunkan berat badan dan membakar lemak-lemak yang terkumpul. Oleh itu senaman menurunkan berat badan secara tidak lansung dan bukanlah semata-mata kerana senaman membakar kalori yang tersimpan. Senaman juga membantu menurunkan hormon-hormon yang menyebabkan masalah kegemukan. Senaman menurunkan paras hormon kortisol yang meningkat disebabkan oleh masalah stress berpanjangan dan senaman juga akan menurunkan paras hormon insulin yang menyebabkan masalah sindrom metabolik.
Wallahualam,
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, FAGE, MScAAARM
1 comment:
Terima kasih doc atas ilmu yg bmanfaat
Post a Comment