Monday, February 18, 2013

SENAMAN DAN KESIHATAN


Apabila kita bercakap tentang ‘ubat’ selalunya kita hanya terbayangkan tentang pil, capsul atau suntikan yang diberikan oleh doktor. Amat ganjil jika doktor memberikan kita preskripsi ‘senaman’. Hakikatnya senaman juga adalah satu bentuk ‘ubat’ untuk merawat penyakit. Konsep senaman sebagai satu ubat adalah sesuatu yang telah terbukti dari segi sains.



Banyak kajian menunjukkan senaman mampu mencegah dan merawat pelbagai jenis penyakit seperti penyakit jantung, kanser, stroke, darah tinggi, penyakit sekatan pulmonari (COPD) dan kencing manis. Dengan senaman, tulang , ligamen dan tendon menjadi lebih kuat dan ini akan mencegah masalah reput tulang (osteoporosis) dan reput sendi (osteoarthritis) disamping itu ia mencegah masalah terjatuh akibat lemah otot dan sendi.

"Marathon Singh" masih mampu berlari dalam London Marathon walaupun telah berusia 102 tahun


Dalam Islam, senaman adalah satu sunnah Nabi Muhammad SAW. Ada hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada Mukmin lemah. Oleh itu, berpegang teguhlah pada setiap kebajikan yang akan memberi manfaat.´

(Riwayat Ahmad,Muslim dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah r.a)

Rasulullah SAW adalah seorang yang aktif secara fizikal sehingga ke akhir hayatnya. Baginda Rasulullah, menyeru umatnya berusaha bersungguh-sungguh menjadi umat yang kuat dan sihat. Baginda menggalakkan umat Islam dengan riadah berkuda, memanah, bergusti berlumba lari dan berenang untuk menguatkan tubuh badan. Rasulullah sendiri menjadi panglima perang semasa dalam umur 50an, menunjukkan betapa cergas dan sihatnya Rasulullah dari segi fizikal.

Sukan memanah adalah sunnah- sekadar hiasan

Kesan psikoloji dan fisioloji senaman juga amat baik. Orang yang selalu bersenam akan lebih tenang, fokus dan tidak mudah stress. Fungsi psikologi dipertingkat dengan penampilan diri yang lebih menarik. Dengan bersenam , jantung dan paru-paru berfungsi secara optimum dan kekuatan serta daya tahan otot meningkat oleh kerana itu masalah di bahagian tulang belakang jarang dialami.

Senaman juga bertindak sebagai agen anti penuaan dengan cara mengurangkan tindak balas negatif akibat stress. Berat badan yang sesuai akan lebih mudah dikekalkan dan risiko penyakit jantung koronari berkurangan dengan bersenam secara konsisten. Orang yang selalu bersenam akan kelihatan lebih muda dari usianya.

Faedah kesihatan dengan senaman bukanlah khusus kepada sejenis penyakit sahaja, tetapi ia mampu mencegah pelbagai jenis penyakit. Bersenam juga boleh memberikan kesan positif kepada kesihatan adalah kerana stress rendah dan menurunkan berat badan. Senaman menaikkan ‘ mood ’ dan jati diri, meningkatkan tenaga, mencantik rupa fizikal dan membuatkan seseorang merasa lebih sihat secara umumnya. Bersenam adalah amalan untuk gaya hidup sihat.


Otak yang sihat dan cerdas adalah hasil dari tubuh badan yang sihat. Disamping pemakanan yang sihat , senaman dan aktiviti fizikal adalah satu cara yang utama dalam mengekalkan kesihatan yang optimum. Saya telah menulis secara lebih mendalam didalam buku saya “8 Rahsia menguruskan badan tanpa berdiet “ tentang konsep senaman dan aktiviti fizikal yang bagaimana membantu menurunkan berat badan.

Aktiviti fizikal seperti berjalan, berlari, berenang, menyangkul, berbasikal, bermain sukan, seni mempertahankan diri dan sebagainya adalah contoh yang baik untuk kita mengamalkan senaman setiap hari. Senaman akan menyebabkan pengaliran arah lebih lancar dan meningkatkan pengoksidaan sel-sel dalam tubuh manusia. Kekurangan oksigen boleh menyebabkan kita rasa tidak sihat, kurang bertenaga, mudah mengantuk, cepat lupa, susah fokus dan tidak bermaya setiap hari.


Senaman juga akan meningkatkan paras hormon dalam badan seperti hormon tumbesaran (Growth Hormon) , testosteron dan thyroid . Peningkatan paras hormon ini lah yang membantu menurunkan berat badan dan membakar lemak-lemak yang terkumpul. Oleh itu senaman menurunkan berat badan secara tidak lansung dan bukanlah semata-mata kerana senaman membakar kalori yang tersimpan. Senaman juga membantu menurunkan hormon-hormon yang menyebabkan masalah kegemukan. Senaman menurunkan paras hormon kortisol yang meningkat disebabkan oleh masalah stress berpanjangan dan senaman juga akan menurunkan paras hormon insulin yang menyebabkan masalah sindrom metabolik.


 
Terdapat lebih dari 40 kajian yang dilaporkan dalam jurnal-jurnal perubatan yang menunjukkan senaman secara sederhana boleh menurunkan risiko penyakit jantung sehingga 30% ke 50%. Senaman sederhana adalah seperti berjalan kaki sejauh 3km selama 40minit, mambasuh dan mengilatkan kereta selama sejam, berkebun selama sejam, mengayuh basikal sejauh 8km selama setengah jam, berenang selama 20 minit dan berlari sejauh 2.5km selama 15minit.


 
Ada kajian yang menunjukkan bersenam boleh mencegah penyakit Parkinson. Kajian oleh Harvard School of Public Health pada tahun 2005 menunjukkan lelaki yang berjoging, bermain ‘basketball’ atau bersenam yang lain sekurang-kurangnya 2 kali seminggu boleh menurunkan risiko mendapat penyakit Parkinson sehingga 60% apabila telah tua.

Sebelum memulakan apa-apa senaman , kita perlu memanaskan badan dan meregangkan urat dan otot-otot. Bersenam dengan mengurangkan risiko kecederaan dengan pakai pakaian yang sesuai dan kasut yang sesuai dengan senaman yang dilakukan. Bernafas dengan betul semasa senaman juga adalah amat penting. Minum air secukupnya sebelum bersenam, semasa bersenam dan selepas bersenam. Jika anda tidak pernah bersenam selama bertahun-tahun, buatlah pemeriksaan dengan doktor dahulu sebelum memulakan senaman yang serius kerana ditakuti mendapat serangan jantung secara tiba-tiba. Gunakan kesempatan semasa berkerja untuk bersenam dengan selalu memilih untuk berjalan apabila ada peluang dan gunakan tangga apabila ada tangga dan kurangkan penggunaan lif , sekurang-kurangnya semasa turun dari bangunan gunakanlah tangga sebagai permulaan.


 
Janganlah menjadikan kesibukan sebgai alasan untuk tidak bersenam, kerana faedah senaman kepada kesihatan amat penting dan terlalu berharga. Tiada gunanya duit berjuta jika tiada kita berpenyakit. Bersenamlah untuk sihat dan dengan kesihatan yang berkekalan kita boleh menikmati hidup yang lebih sempurna. Tubuh badan yang sihat penting untuk kita melaksanakan segala suruhan dan tuntutan agama. Berusahalah untuk sihat dengan bersenam secukupnya dan makan makanan yang sihat.

Wallahualam,
Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, FAGE, MScAAARM


1 comment:

Unknown said...

Terima kasih doc atas ilmu yg bmanfaat