Monday, August 4, 2014

Pilih Makanan Sihat Ketika Beraya



MARJERIN ATAU MENTEGA UNTUK KESIHATAN?


Oleh:
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MScAARMMA (UCSI), FAGE


Hariraya menjelang tiba tidak lama lagi. Kita semua pasti sibuk dengan persiapan menyambut Syawal kali ini. Diantara juadah yang popular semasa musim raya ini sudah tentulah pelbagai kuih raya dan kek yang disediakan untuk tetapu yang datang berkunjung kerumah kita.
Diantara bahan yang digunakan dalam pelbagai kuih raya dan kek adalah mentega atau marjerin. Dari sudut kesihatan diantara keduanya yang manakah lebih baik untuk kesihatan kita? Ramai yang tidak menyedari perbezaan diantara keduanya kerana rupanya serupa sahaja dan ramai yang keliru diantara kedua-dua bahan ini.



Marjerin diproses dan dihasilkan  daripada minyak masak seperti  minyak kelapa sawit, minyak kacang soya ,minyak bunga matahari, minyak safflower dan sebagainya. Ia menjadi keras dan pejal apabila diproses melalui kaedah ‘hidrogenasi’ untuk menjadinya seperti marjerin yang kita kenal. Proses hidrogenasi inilah yang menjadikan lemak dalam marjerin bertukar kepada jenis ‘asid lemak trans’. Marjerin boleh dianggap sebagai  ‘makanan proses’ kerana ia tidak wujud secara asli.Kajian menunjukkan asid lemak trans adalah berisiko tinggi untuk kesihatan. Bukan hanya marjerin tetapi makanan seperti makanan segera, mee segera, donut, biskut, makanan bergoreng dan makanan proses mengandungi kandungan asid lemak trans yang tinggi. Terdapat juga jenis marjerin yang dilabel sebagai ‘bebas asid lemak trans’ (trans fat free) dipasaran sekarang kerana ia mengandungi asid lemak trans kurang daripada 0.5gram setiap hidangan.



Kajian yang dilaporkan dalam New England Medical Journal pada tahun 1990 menunjukkan pemakanan yang tinggi dengan asid lemak trans akan meningkatkan paras kolesterol tidak baik LDL dan menurunkan paras kolesterol baik HDL. Berdasarkan satu lagi laporan dalam jurnal perubatan yang sama pada tahun 1997, pengambilan asid lemak trans ini meningkatkan risiko  untuk mendapat penyakit jantung. Kajian juga menunjukkan asid lemak trans ini menyebabkan masalah ‘keradangan mikro’ dalam saluran darah yang menjadikan punca terbentuknya plak kolesterol dalam dinding saluran darah yang akan menyebabkan saluran darah tersumbat terutamanya saluran darah koronari dijantung.



Terdapat juga kajian yang lain yang menunjukkan pengambilan asid lemak trans ini berkaitan dengan pelbagai penyakit lain seperti kanser, penyakit Alzheimer’s, kegemukan, diabetis, kerosakan hati, masalah kesuburan dikalangan wanita, masalah kelakuan cepat marah dan agresif serta masalah kemurungan. Kajian-kajian ini dilaporkan dalam pelbagai jurnal-jurnal perubatan diseluruh dunia. Oleh kerana itu,  pada tahun 2002, National Academy of Sciences dalam laporan bertajuk “ Dietary Reference Intake for Energy, Carbohydrate, Fibre, Fat, Fatty Acids, Cholesterol, Protein and Amino Acids” telah memberikan saranan kepada kerajaan USA dan Kanada untuk mewajibkan polisi pelabelan makanan dan produk dengan label asid lemak trans atau ‘hydrogenated vegetable oils’. Di Malaysia juga mempunyai undang-undang yang sama dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Oleh amat penting bagi kita untuk membaca label yang ditulis pada makanan yang kita beli untuk mengurangkan atau mengelakkan mengambil asid lemak trans ini.



Mentega pula dihasilkan dari lemak susu dari jenis ‘lemak tepu’. Sekarang terdapat juga mentega yang dihasilkan dari susu lembu yang diberi hanya makan rumput sahaja secara ‘ternakan organik’ dan mentega jenis ini mengandungi kandungan vitamin K, butyrate, CLA dan omega 3 yang tinggi. Ia adalah pilihan lebih baik untuk kesihatan tetapi harganya adalah lebih tinggi.
Ahli sains dan pakar pemakanan sebelum ini berpendapat ‘lemak tepu’ menjadi punca kepada masalah kolesterol tinggi dan sakit jantung. Sekarang, terdapat pelbagai kajian yang menunjukkan fakta yang sebaliknya.

Kajian ini dilaporkan dalam American Journal of Clinical Nutrition pada tahun 2010 yang membuat analisa 21 kajian ‘ prospektif cohort’ yang melibatkan 347,747 peserta kajian . Rumusan dari meta analisa ini adalah didapati tiada kaitan diantara pengambilan lemak tepu dengan peningkatan risiko penyakit jantung dan kolesterol tinggi. Kajian yang lain yang dilaporkan dalam Journal of Clinical Epidemiology pada tahun 1998 bertajuk “The Questionable Role of Saturated and Polyunsaturated Fatty Acids in Cardiovascular Disease” juga merumuskan bahawa lemak tepu tidak menyebabkan masalah kolesterol tinggi dan meningkatkan risiko sakit jantung. Terdapat banyak lagi kajian yang dilaporkan dalam jurnal perubatan telah merubah pendapat ahli perubatan tentang punca sebenar masalah penyakit jantung  dan kaitannya dengan pemakanan lemak tepu.
Oleh kerana itu, ramai pakar pemakanan telah mula menyatakan bahawa mentega adalah lebih baik dari marjerin walaupun mentega mempunyai kandungan lemak tepu. Tiada kajian yang menunjukkan asid lemak trans mempunyai apa-apa faedah kesihatan sehingga kini.
Walaubagaimanapun, kita patut berpada-pada dalam pengambilan makanan berlemak tepu ini dan tidak melampau. Kita patut meninggalkan pengambilan makanan yang mempunyai asid lemak trans ini dan memilih alternatif yang lebih sihat. Dalam konteks kek dan kuih raya maka berdasarkan rumusan kajian terkini, penggunaan mentega adalah lebih sihat kepada kesihatan. 
Wallahualam


No comments: