Tuesday, September 30, 2014

KELEBIHAN BAKTERIA BAIK



Faedah Probiotik untuk Kesihatan
Oleh:
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc(UCSI), FAGE


Probiotik adalah istilah yang digunakan untuk menamakan ‘bakteria baik’ yang membantu meningkatkan tahap kesihatan seseorang yang ditemui dalam usus manusia. Probiotik adalah faktor penting kepada kesihatan yang baik. Probiotik biasanya terdapat dalam dadih (yogurt)  dan minuman kultur. Terdapat juga probiotik yang dijual sebagai suplemen dalam bentuk kapsul atau serbuk yang dibancuh. Terdapat dua jenis probiotik yang utama iaitu dari lactobacillus dan bifidobacterium.




Terdapat kajian yang dilaporkan dalam jurnal perubatan pada tahun 2013 yang  merumuskan bahawa probiotik dan keseimbangan bakteria dalam usus adalah kunci kepada pelbagai jenis manfaat kesihatan yang luas.
Bukan semua bakteria adalah merbahaya atau menyebabkan penyakit. Dalam perubatan, jika seseorang mendapat jangkitan dari ‘bakteria jahat’ atau ‘patogen’ maka doktor akan memberikan ubat antibiotik. Peranan probiotik adalah terbalik daripada antibiotik. Ia sendiri adalah bakteria, tetapi ia memberikan faedah kesihatan kepada yang mengambilnya.



Probiotik amat penting terutama dalam usus manusia. Dengan kehadiran probiotik yang secukupnya didalam usus seseorang, maka ia akan membantu meningkatkan imuniti tubuh dengan meransang sel-sel immun menghasilkan lebih banyak antibodi. Ia juga membantu dalam proses metabolisma dan merembeskan bahan yang mengawal kitaran sel-sel dalam usus. Probiotik juga berperanan mengawal pembiakan bakteria jahat didalam usus.
Apabila seorang bayi itu lahir, tiada bakteria baik yang hidup didalam ususnya. Semasa proses kelahiran yang normal, sebahagian bakteria dalam saluran peranakan akan masuk kedalam usus bayi dan membiak didalamnya. Oleh itu , bayi yang lahir secara normal adalah lebih beruntung kerana mendapat probiotik semulajadi dari ibunya. Dalam tempoh dua minggu bakteria baik ini akan meng’koloni’ usus bayi dan kekal keakhir hayat. Jika seseorang mengambil antibiotik, maka sebahagan dari bakteria baik ini akan turut sama mati, oleh itu ia perlu untuk diganti semula untuk mengekalkan keseimbangan bakteria didalam usus. Disinilah peranan probiotik yang mengekalkan keseimbangan bakteria didalam usus ini. Jika tidak bakteria jahat akan membiak dengan banyak dan mengakibatkan pelbagai masalah penghadaman dan lain-lain masalah kesihatan.


Menurut kajian di Korea yang dilaporkan dalam Journal Gastroenterology pada tahun 2013, terdapat beberapa keadaan yang akan menyebabkan jumlah   probiotik akan semakin kurang dan terganggu iaitu apabila kita bertambah usia dan  mengambil pil antibiotik secara tidak terkawal. Kajian lain yang dilaporkan dalm Journal Nutrient of Healthy Aging  pada tahun 2013 menunjukkan makan makanan proses dan gula yang berlebihan juga akan mengganggu jumlah probiotik dalam usus. Gangguan dan ketidakseimbangan diantara ‘bakteria baik’ (probiotik) dan ‘bakteria jahat’(patogen) didalam usus yang akan menyebabkan gangguan dalam keseluruhan sistem imuniti tubuh yang akan mengakibatkan masalah allergi yang teruk berdasarkan laporan satu kajian yang terbitkan dalam Journal Nutrients pada tahun 2012.



Selain daripada susu kultur dan dadih, susu ibu dan makanan yang diperam seperti budu, belacan, cencalok, tempe juga mengandungi probiotik. Bagi ibu-ibu yang menyusukan anak, anda sebenarnya membekalkan makanan kepada probiotik dengan kandungan prebiotik yang tinggi dalam susu ibu.



‘Prebiotik’ pula adalah makanan kepada bakteria probiotik ini. Prebiotik  banyak ditambah ke dalam produk susu tepung bayi dan kanak-kanak. Buah-buahan yang kaya dengan prebiotik adalah pisang iaitu bahan yang dipanggil frukto oligo sakarida (FOS).
Selain daripada kesihatan usus, kajian menunjukkan probiotik juga amat baik untuk pesakit diabetis. Kajian selama 6 minggu kepada pesakit diabetis yang diberikan probiotik lactobacillus dan bifidobacterium mendapati paras gula berpuasa dan HbA1C yang lebih rendah berbanding dengan pesakit yang tidak mengambil probiotik ini. Kajian ini diterbitkan dalam Journal of Nutrition pada tahun 2012.


                             MAKANAN KAYA DENGAN PREBIOTIK

Probiotik juga boleh membantu menurunkan berat badan berdasarkan satu kajian yang dilaporkan dalam Journal Clinical Microbiology and Infection pada edisi April 2013. Kajian ini menunjukkan suplemen probiotik menyebabkan penurunan berat badan dan mengurangkan pengumpulan lemak dalam haiwan dan manusia.
Yang lebih menarik lagi adalah, kajian yang menunjukkan probiotik boleh menurunkan paras kolesterol LDL dan meningkatkan paras kolesterol baik HDL. Disamping itu kajian terbaru menunjukkan probiotik mengurangkan penyerapan kolesterol melalui usus dan mengurangkan keradangan atau ‘inflamasi’ dalam tubuh dan mencegah pembentukan plak kolesterol dalam saluran darah. Berdasarkan faktor ini, maka saintis berpendapat probiotik juga boleh mengurangkan risiko penyakit jantung.
Disamping itu kajian lain menunjukkan probiotik boleh mencegah kerosakan DNA kepada sel-sel di dinding usus, oleh itu ia boleh mencegah kanser usus. Kajian ini juga merumuskan  pengambilan probiotik secara kerap akan meningkatkan paras anti oksidan dan membantu proses detoksifikasi didalam usus yang akan mencegah kesan bahaya bahan karsinogen dalam makanan yang menyebabkan kanser.
Berdasarkan kajian-kajian yang terbaru ini jelas membuktikan kepentingan probiotik mencegah pelbagai penyakit kronik dan berbahaya. Amalkanlah probiotik dalam pemakanan seharian kita dengan mengambil pelbagai jenis minuman susu kultur dalam pasaran atau makan dadih selalu dan tidak lupa juga mengamalkan makanan tradisi yang kaya dengan probiotik seperti tempe, budu, cencalok, tempoyak dan belacan. Insyaallah, kita akan mendapat kesihatan yang lebih baik.
Wassalam

2 comments:

cik Jaja said...

Doc, nak tanya. Kalau belacan dan budu tu ada probiotic kan, kenapa ada orang makan akan jadi gatal-gatal hidung? Alergik terhadap makanan tu ke ye?

Sebab bukan ke probiotic dapat membantu masalah alergik?

Mohon pandangan, terima kasih :)

norfatehah said...
This comment has been removed by the author.