Wednesday, April 30, 2014

BAIK BURUK CAHAYA MATAHARI




ANTI OKSIDAN MENCEGAH KESAN PENUAAN KULIT

Masalah penuaan kulit (photoaging) adalah satu masalah yang selalu dihadapi apabila seseorang meningkat umurnya. Ia menyebabkan seseorang kelihatan lebih tua daripada umurnya. Ini adalah sangat lumrah di Malaysia kerana negara kita ini sentiasa mendapat pancaran cahaya matahari yang terik dan panas. Kawasan yang biasanya kelihatan semua tanda-tanda ini adalah dikawasan yang terdedah dengan cahaya matahari seperti muka, tengkuk, leher, tangan, lengan dan bahagian atas dada. Kita tidak boleh lari dari cahaya matahari ini, tetapi kita boleh mengambil anti oksidan untuk mencegah kesan buruk akibat pendedahan melampau kepada cahaya matahari.

Terdapat dua jenis radiasi ultra-ungu (UV) didalam cahaya matahari iaitu UVA (320 to 400nm) dan UVB (290 to 320nm). UVA pula menyerap kelapisan yang lebih dalam kulit dan menyebabkan masalah penuaan kulit. Oleh kerana nisbah UVA adalah 95% berbanding UVB 5% maka kesan pendedahan kepada matahari akan menyebabkan kerosakkan yang kronik iaitu kesan penuaan kulit untuk jangkamasa panjang.  Masalah selar matahari (sunburn) disebabkan UVB, tetapi ianya tidak boleh menembusi lapisan kaca, oleh kerana itu kita tidak mendapat selar matahari jika berada didalam kereta.

Pendedahan kepada cahaya matahari pagi amat penting untuk menjana Vitamin D dan juga meransang pembentukan hormon serotonin dalam tubuh manusia. Untuk mendapat kesihatan yang baik dan mendapat vitamin D yang secukupnya maka kita masih perlu berjemur sedikit (lebih kurang 10 hinga 15 minit) dibawah matahari terutamanya pada waktu pagi. Kita juga akan lebih mudah tidur pada waktu malam jika mendapat pendedahan cahaya matahari pagi yang secukupnya kerana ia hormon serotonin yang secukupnya pada waktu pagi akan  menjadi hormon melatonin yang diperlu untuk tidur pada waktu malam. Tidur yang cukup amat penting untuk kesihatan dan keremajaan kulit.


Cahaya matahari yang terik dan panas pada waktu tengah hari diantara pukul 11.00am hingga 3.00pm adalah waktu yang paling tidak sihat jika kita terdedah terlalu lama dan ianya boleh menyebabkan masalah selar matahari(sunburn) dan strok panas. Disamping itu, kulit akan mengalami masalah penuaan awal jika ianya terdedah setiap hari dalam tempoh yang lama.  Selalulah menggunakan krim pelindung matahari yang mempunyai faktor pelindung matahari (SPF) yang lebih dari 30 apabila keluar melakukan aktiviti ditengah panas. Penggunaan alat perlindung matahari fizikal seperti topi, payung, tudung kepala dan sebagainya juga boleh membantu memberikan perlindungan dari cahaya matahari. Sinaran ultraungu (UV) dari cahaya matahari akan merosakkan kulit yang menyebabkan masalah jeragat dan kulit cepat berkedut.
 

Masalah penuaan kulit ini boleh dilihat sebagai kedutan, garis halus, kulit mengendur (sagging and laxity), tona kulit tidak sekata, masalah jeragat (pigmentasi), kulit kelihatan kasar dan berkuping, kulit menipis dan mengendur, kekeringan kulit, kedutan kasar (deep furrows) dan kutil kecil. Masalah yang lebih serius seperti  telangiectasias, seborrhoiec keratosis, solar elastosis, actinic purpura, kanser kulit dan melanoma. Ia adalah istilah perubatan yang digunakan oleh doktor yang berlaku pada kulit seseorang akibat pendedahan kepada radiasi UV yang berlebihan ini. Kanser kulit dan melanoma adalah kesan yang lebih teruk apabila terdedah kepada radiasi UV ini.


Apabila umur meningkat maka kolagen dan elastin dibawah kulit akan mengendur dan mengakibatkan masalah kedutan dan garis halus. Kesannya, kulit menjadi longgar, kendur, hilang lemak, nipis dan kasar. Tarikan graviti dan pergerakan otot muka kerana ekpresi muka selama bertahun-tahun menjadikan kulit muka menurun dan mengendur ke bawah dan menyebabkan kedutan yang lebih kasar.Terdedah kepada cahaya matahari yang lama , merokok secara aktif atau pasif disamping faktor genetik menambahkan lagi masalah kulit kedut ini.
 
Menurut satu laporan yang bertajuk “Overview of skin aging and photoaging” yang diterbitkan dalam Journal Dermatology Nursing pada tahun 2008, menyatakan bahawa kesan penuaan akibat pancaran cahaya matahari ini disebabkan radiasi cahaya ultra-ungu (UV) dan jumlah sel-sel melanin pada kulit seseorang. Kesan cahaya matahari juga boleh merosakkan DNA dalam sel-sel kulit secara lansung atau tidak lansung.

Radiasi ultra ungu ini menyebabkan reseptor pada sel-sel pada kulit (keratinosit dan fibroblast) menghasilkan tidakbalas yang menyebabkan kerosakan kepada kolagen dalam lapisan kulit dan menyebabkan penghasilan kolagen berkurangan. Secara ringkasnya pendedahan yang melampau kepada radiasi UV ini merosakkan kolagen dan penghasilannya dalam lapisan kulit.

Satu kajian yang dilaporkan oleh oleh Department of Dermatology, Cambridge University Hospital pada tahun 2013,  menyatakan pengambilan anti oksidan boleh mencegah kesan penuaan kulit dan membantu mengekalkan kesihatan dan keremajaan kulit seseorang. Anti oksidan ini perlu dimakan dan disapu pada kulit. Kajian juga menunjukkan, sistem pertahanan antioksidan semula jadi kulit manusia juga dipengaruhi oleh suplemen dan nutrisi yang dimakan dan kombinasi pelbagai anti oksidan yang diambil bertindak secara sinergi bersama-sama untuk mengekalkan kesihatan kulit.

Pengambilan Vitamin C juga didapati amat membantu mencegah masalah penuaan kulit akibat sinar matahari ini kerana Vitamin C adalah sejenis anti oksidan yang kuat. Vitamin C adalah anti oksidan yang amat baik dan ianya juga boleh mencegah beberapa jenis kanser termasuklah kanser kulit. Sebagai bahan antioksidan,vitamin C melindungi sel-sel kulit dan tubuh dari kerosakan oleh radikal bebas yang datang dari radiasi UV cahaya matahari. Vitamin C juga membantu untuk mengaktifkan  antioksidan yang lain didalam tubuh seperti Vitamin E , Glutathion dan L karnitin
 

Diantara fungsi utama vitamin C adalah menghasilkan kolagen dalam tubuh manusia. Kolagen ini penting untuk kesihatan dan keanjalan kulit seseorang. Apabila keanjalan kulit berkurangan, maka kulit akan menjadi berkedut, kusam, berjeragat, kendur dan kelihatan tua. Kolagen adalah protein utama dalam  struktur organ manusia seperti saluran darah , tendon, ligaments , tulang , gigi ,rambut dan kulit. Kekurangan kolagen akan menyebabkan kulit menjadi kendur dan berkedut, tulang rapuh, gigi mudah tercabut,  rambut gugur dan mudah putus serta mudah berlaku pendarahan dibawah kulit.
 
Dengan mengekalkan integriti tisu badan seperti kulit dan lapisan mukosa, vitamin C  membantu menjadikan kulit menjadi lebih licin, tegang , cerah, berseri, mengurangkan kesan –kesan jeragat dan bintik hitam pada kulit akibat terdedah pada cahaya matahari. Vitamin C juga amat penting dalam pemulihan luka, melecur dan ulser yang kronik.

Pengambilan vitamin C melalui sumber makanan yang kaya dengan vitamin C seperti buah-buahan (oren, jambu batu, kiwi, mangga, epal) dan sayur-sayuran (sawi, bayam, kangkung, cili) adalah amat penting dan patut diamalkan setiap hari. Pengambilan suplemen tambahan juga boleh diamalkan dengan dos sehingga 1000mg sehari untuk mendapat kesan yang terbaik mencegah penuaan kulit dan pelbagai jenis penyakit yang lain. Sehingga hari ini kajian mendapati tiada kesan sampingan yang merbahaya dengan pengambilan vitamin C setiap hari kerana sifat vitamin ini yang larut air menyebabkan ianya mudah disingkirkan dari tubuh jika berlaku lebihan.

Pengambilan makanan yang kaya dengan anti oksidan juga membantu mengurangkan masalah kedutan dan garis halus kulit. Anti oksidan membantu melindungi kulit dari kerosakan akibat radikal bebas dari sinaran ultra ungu (UV) matahari.Selain daripada cahaya matahari,  pencemaran seperti asap kenderaan dan asap rokok akan meningkatkan tekanan oksidatif kepada kulit yang menyebabkan masalah kedutan kulit dan garis halus serta masalah jeragat.

Oleh kerana itu amat penting juga kita mengambil banyak buah-buahan yang kaya dengan anti oksidan untuk menjaga kesihatan kulit. Kita juga boleh mengambil pelbagai jenis produk anti oksidan yang berada di pasaran yang juga boleh membantu kita mendapatkan bekalan anti oksidan harian kita. Kerana itu terdapat banyak produk dan krim kecantikan menggunakan bahan-bahan anti oksidan seperti vitamin C, vitamin A, vitamin E, piknogenol, teh hijau, resveratrol, anthosianidin dan fitonutrien.

Minum air secukupnya adalah satu faktor yang amat penting. Apabila semakin meningkat usia manusia akan semakin kekurangan air didalam badan. Disamping itu, semakin umur meningkat sesetengah dari kita amat kurang minum air kerana tidak suka untuk buang air kecil selalu. Bagi pekerja pejabat yang duduk didalam pejabat yang berhawa dingin, kehilangan air juga adalah ketara kerana dalam kawasan berhawa dingin kelembapan adalah rendah menyebabkan kulit menjadi lebih mudah kering. Suasana yang sejuk dalam bilik berhawa dingin juga menyebabkan seseorang semakin kurang minum air. Kesannya adalah kulit kehilangan kelembapan dan lebih mudah menjadi berkedut serta bergaris halus yang lebih nyata. Minumlah  air mineral yang akan membantu kesegaran kulit dan elakkan pengambilan air bersoda dan bergas. Kurangkan pengambilan kopi dan teh berlebihan yang menyebabkan masalah dehidrasi dan kulit kering. 
 
Pengambilan makanan yang kaya dengan omega 3 juga boleh membantu mengurangkan masalah kedutan kulit. Omega 3 akan menyeimbangkan asid lemak dalam tubuh dengan omega 6 dan omega 9. Lemak yang tidak seimbang menyebabkan kehilangan lemak dibawah kulit dan menyebabkan masalah kulit berkedut. Pengambilan suplemen omega 3 juga boleh membantu jika kita kurang makan ikan dan sumber asli  omega 3 yang lain.

Jika anda mengalami masalah penuaan kulit pra matang ini maka berjumpalah doktor yang mahir dan pakar dalam bahagian ini yang boleh memberikan rawatan dengan memberikan krim-krim tertentu, suplemen dan juga rawatan untuk menghilangkan kesan penuaan kulit dengan pelbagai kaedah seperti rawatan facial, peeling, microdermabrasion dan laser.

Amalkan pemakanan sihat, suplemen dan anti oksidan  yang secukupnya dan perlindungan dari cahaya matahari disamping minum air yang cukup setiap hari boleh membantu mengurangkan kesan penuaan kulit pra matang dan kedutan pada kulit terutama pada wajah seseorang, Insyaallah.

 

DR NORMAN MOHD NORAWI

(MBBS, MScAARMMA, FAGE)

Konsultan,

KLINIK EUZELLE

 

SUPLEMEN PENTING UNTUK KESIHATAN


 
 
 
PERLUKAH PENGAMBILAN SUPLEMEN SETIAP HARI...

 

Jika kita ke farmasi atau klinik kita akan melihat pelbagai jenis pil-pil suplemen atau vitamin dan mineral yang dijual. Pelbagai promosi dan iklan di media massa tentang pelbagai jenis suplemen yang dijual dipasaran. Suplemen atau makanan tambahan adalah zat-zat makanan mikro atau surih yang perlu kita ambil setiap hari untuk mengekalkan kesihatan yang baik.

 

Persoalan yang selalu ditanya adalah;

 

Kenapa kita perlu mengambil suplemen atau makanan tambahan ini?”

 

Jika anda bertanya dengan sesetengah doktor maka ada yang berpendapat bahawa kita tidak perlukan suplemen ini. Pada pendapat mereka cukuplah dengan hanya mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang untuk kekal sihat. Pendapat sebegini agak kurang tepat dengan keadaan kehidupan kita pada zaman moden ini. Kajian saintifik yang terbaru membuktikan bahawa dengan mengamalkan pengambilan suplemen ia akan membantu mendapatkan kesihatan yang lebih baik dan mencegah pelbagai jenis penyakit yang kronik. Hakikatnya, makanan yang kita makan zaman sekarang tidak dapat menampung keperluan vitamin, mineral, zat-zat surih dan anti oksidan tubuh kita.

 

Saya selalu ditanya, adakah terdapat bukti saintifik tentang kepentingan pengambilan suplemen ini. Sebenarnya, terdapat ribuan kajian yang telah dijalankan sebenarnya yang boleh kita baca dalam jurnal-jurnal perubatan. Satu kajian yang sangat popular yang dinamakan ‘Nurses Health Study’ yang dijalankan dari tahun 1976 hingga 1989 melibatkan 280,000 jururawat telah menunjukkan diantara kesimpulannya adalah pengambilan beberapa jenis suplemen seperti anti oksidan boleh mencegah kanser dan masalah buta mata akibat katarak. Kesimpulan lain adalah: pengambilan vitamin D dan kalsium boleh mencegah masalah reput tulang. Pengambilan suplemen vitamin B6, kalsium, vitamin D dan asid folik boleh membantu mencegah  kanser. Pengambilan makanan yang kaya dengan Omega 3 boleh mencegah sakit jantung dan angin ahmar (strok). Berdasarkan fakta kajian ini jelas menunjukkan kepentingan pengambilan suplemen dalam mencegah penyakit kronik yang merbahaya.

 

 

Terdapat banyak lagi kajian yang telah diterbitkan dalam jurnal-jurnal perubatan yang menunjukkan pengambilan secara berterusan suplemen mampu mencegah penyakit kronik dan mengekalkan berat badan yang ideal. Kajian-kajian lain telah membuktikan kelebihan vitamin dalam pencegahan penyakit-penyakit kronik seperti sakit jantung, kanser, darah tinggi, kencing manis, osteoporosis dan pelbagai lagi.

 

Kajian-kajian lain juga menunjukkan anti oksidan, vitamin B6, B12, asid folik, vitamin C, vitamin D dan vitamin E mampu mencegah penyakit dengan melindungi membran sel dan DNA didalam sel dari kerosakan akibat radikal bebas dan pelbagai jenis toksin yang masuk kedalam tubuh manusia. Didalam buku saya, ‘Hindari Kanser dengan Anti Oksidan’, saya telah menyenaraikan kajian-kajian saintifik tentang anti oksidan yang berkaitan dengan kanser dan pencegahannya.

 

Terdapat juga banyak kajian menunjukkan pengambilan supplemen omega 3 mampu membantu menurunkan paras kolesterol, mencegah penyakit jantung dan mengawal berat badan sebagaimana yang telah saya tulis dalam buku saya ‘Omega 3: kepentingannya kepada kesihatan’.  

Begitu juga pengambilan probiotik sebagai suplemen harian  mampu meningkatkan immuniti, penghadaman yang baik , mengurangkan masalah allergi dan mencegah kanser usus.

 

Secara umumnya, makanan yang kita makan setiap hari tanpa kita sedari sebenarnya tidak seimbang dan amat rendah kandungan zat-zat surih atau mikro seperti vitamin, mineral, anti oksidan dan sebagainya. Makanan kita kaya dengan karbohidrat, lemak tepu, lemak ‘trans’ dan gula yang berlebihan ditambah lagi  dengan pelbagai pengawet, pewarna dan perasa tiruan. Bahan-bahan tambahan ini mengganggu keseimbangan metabolisma sel-sel dalam tubuh manusia.  Budaya makanan segera yang dibawa dari barat memburukkan lagi masalah ini. Anak-anak dan juga ibubapa amat kurang mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan dalam pemakanan seharian.Pemakanan seimbang masa kini lebih kepada iklan di poster di sekolah, klinik dan hospital semata-mata. Hakikatnya ianya tidak di amalkan dalam kehidupan seharian.

 

Sekarang perkembangan industri makanan segera amat hebat sekali. Setiap hari kita melihat iklan-iklan di kaca televisyen tentang makanan segera. Kemajuan ekonomi seiring dengan perubahan corak pemakanan manusia di seluruh dunia. Makanan yang di proses amat mudah didapati dalam pasaran yang hanya mempunyai ‘karbohidrat kosong’ tanpa zat-zat mikro yang mencukupi. Disinilah pentingnya  suplemen yang kita makan akan membantu membekalkan mana-mana zat-zat yang kekurangan tanpa kita sedar untuk menjaga  keseimbangan metabolisma sel-sel tubuh manusia.

 

Kehidupan kita dizaman moden sekarang yang membeli semua makanan di pasar atau pasaraya besar jauh berbeza dengan kehidupan datuk nenek kita di zaman dahulu yang menghasilkan sendiri makanan mereka. Sayur-sayuran dan buah-buahan yang  kita makan ditanam secara komersil dengan penggunaan baja kimia, racun rumpai dan sebagainya. Makanan dari sumber daging ayam, kambing, lembu diternak secara komersil dengan penggunaan hormon and antibiotik yang berleluasa. Ikan dilaut juga tercemar dengan logam berat raksa yang menyebabkan keracunan kronik. Isu-isu pencemaran ini amat kompleks dan susah untuk dielakkan, natijahnya untuk menjaga kesihatan badan kita , kita perlukan suplemen setiap hari.

 
           
 
Semua sel di dalam tubuh menggunakan vitamin dan mineral serta antioksidan untuk melindungi bahagian-bahagian sel seperti membran, protein, lipid, plasma, mitokondria, nukleus dan DNA dari kerosakan oksidatif. Zat-zat mikro seperti vitamin, mineral dan anti oksidan membantu dalam proses membaikpulih sel dan seterusnya membolehkan ia berfungsi dalam keadaan yang optimum.

 

Apabila sel-sel berfungsi dalam keadaan baik maka semua organ dan sistem tubuh manusia dapat berfungsi dengan baik. Kesannya, kesihatan akan terpelihara dan boleh dikekalkan untuk jangkamasa yang lebih panjang dengan mengambil suplemen yang perlu.

 

Sikap sesetengah orang yang mempunyai tabiat tidak sihat seperti merokok, tidak bersenam, makan secara berlebihan, masalah obesiti dan stress yang melampau menyebabkan kadar penyakit zaman moden seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, angin ahmar dan kanser semakin buruk dan meningkat dengan begitu ketara sekarang. Ini menambahkan lagi keperluan pengambilan suplemen untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit kronik akibat tabiat buruk ini. Berhenti dari mengamalkan tabiat-tabiat yang merbahaya kepada kesihatan adalah langkah terbaik dan pengambilan suplemen akan membantu memulihkan kesihatan tubuh secara keseluruhannya.

 
 

Tetapi perlu diingat bahawa pemakanan seimbang dan sihat dengan mengambil lebih banyak sayur-sayuran, buah-buahan dan karbohidrat berserat tinggi juga penting untuk mencegah penyakit-penyakit  kronik ini. Bersenam juga adalah salah satu faktor penting dalam mencegah penyakit ini. Ketiga-tiga faktor ini amat penting dan perlu seiring diamalkan untuk mendapat kesihatan yang optimum dan bukan hanya bergantung kepada pengambilan suplemen semata-mata. Suplemen bukanlah ubat untuk mencegah penyakit tetapi sebagai satu tabiat yang sihat membantu mencapai kesihatan optimum.

 

Dengan memulakan pengambilan suplemen setiap hari seperti multivitamin, mineral, antioksidan, omega 3 dan probiotik yang berkualiti tinggi, seseorang boleh merasakan perbezaan tahap kesihatannya dalam masa beberapa hari, minggu, bulan atau tahun. Sesetengah orang akan merasa peningkatan tenaga, ketenangan fikiran dan peningkatan prestasi fizikal dengan penggunaan suplemen ini. Malah terdapat juga orang-orang yang lebih dramatik kesannya ke atas mereka.

 

Terdapat sesetengah orang pula tidak dapat merasai atau menyedari apa-apa kesan dari pengambilan suplemen atau makanan nutrisi tambahan ini, tetapi ini tidak bermakna tiada sebarang pembaik pulihan berlaku.

 

Sama ada seseorang itu merasainya atau tidak, pengambilan suplemen tambahan telah terbukti secara saintifik berdasarkan kajian yang telah dijalankan. Dengan pengambilan suplemen setiap hari secara konsisten, seseorang itu akan mendapat faedah kesihatan, InsyaAllah.

 

Dr Norman Mohd Norawi

(MBBS, MScAARMMA, FAGE)

 

Klinik Euzelle

Pengamal Perubatan Am dengan

Pengkhususan Anti Aging, Esthetik & Perubatan Regeneratif