STRESS
DAN KESIHATAN JANTUNG
Stress
atau tekanan adalah satu faktor yang kuat menyebabkan masalah kesihatan terutamanya
penyakit jantung koronari dalam masyarakat zaman moden sekarang.
Stress
boleh berpunca dari faktor luaran atau faktor dalaman seseorang. Stress boleh
menjadi sesuatu faktor positif yang mendorong seseorang untuk lebih tekun
berkerja , tetapi jika stress menjadi terlampau dan diluar kawalan maka ianya
akan menjadi faktor yang boleh merosakkan kesihatan seseorang. Faktor luaran
termasuklah kerjaya, hubungan sesama manusia, rumah tangga dan keluarga yang
menyebabkan situasi yang mencabar, tekanan kerja, jangkaan dan harapan
kehidupan seharian. Faktor dalaman termasuklah bagaimana tindakbalas dan keupayaan mengawal stress atau tekanan
dari faktor luaran tadi termasuklah status nutrisi, tahap kesihatan fizikal dan
kecergasan, kekuatan emosi dan tidur serta rehat yang secukupnya bagi seseorang. Mengharapkan sesuatu yang sempurna
dan terlalu mengikut perancangan kita adalah faktor dalaman yang boleh
menyebabkan seseorang mengalami stress yang tinggi.
Stress
boleh menyebabkan penyakit jantung kerana berlaku perubahan hormon iaitu hormon
adrenalin dan kortisol. Stress juga boleh mempengaruhi tingkahlaku seseorang.
Seseorang yang mengalami stress biasanya mengambil tindakan yang boleh
memburukkan kesihatan seperti merokok, minum arak, makan secara berlebihan.
Kesan dari tabiat yang tidak sihat ini kesihatan jantung seseorang akan
terjejas dan akibatnya boleh menyebabkan penyakit jantung yang kronik.
Kaitan
diantara stress dan kesannya kepada kesihatan telah dikaji oleh seorang ahli
sains bernama Hans Selye pada tahun 1946. Beliau berpendapat stress adalah
punca kepada pelbagai masalah kesihatan dan penyakit. Beliau telah membahagikan stress kepada tiga tahap iaitu
Amaran (Alarm), Rintangan (Resistance) dan Keletihan (Exhaustion).
Kajian
terbaru menunjukkan stress boleh menyebabkan penyakit jantung. Walaubagaimanapun
masih berlaku perdebatan bagaimanakah mekanisme yang sebenarnya stress boleh
mengganggu kesihatan jantung. Manusia zaman moden tidak lagi mengalami stress
sebagaimana manusia yang hidup pada zaman purba yang mengalami stress apabila
terserempak dengan binatang buas didalam hutan. Stress yang dialami semasa
bertemu dengan binatang buas akan menyebabkan tubuh bersedia untuk melawan atau
lari (flight or fight), dan dalam
keadaan ini hormon adrenalin dan kortisol yang keluar akan membantu seseorang
untuk keluar dari masalah tersebut.
Dalam
zaman moden sekarang, stress akibat kerjaya, keluarga, masyarakat dan duit akan
menyebabkan tubuh memberikan tindakbalas yang serupa iaitu menghasilkan hormon
ini secara berterusan dan dalam jumlah yang tinggi. Apabila hormon ini terlalu
tinggi dalam tubuh seseorang ia akan mengganggu kesihatan jantung dan sistem
pembuluh darah.
Menurut
kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Circulation pada tahun 2000,
yang bertajuk “ Mental Stress Induces
Transient Endothelial Dysfunction in Human” yang bermaksud mental stress
boleh merosakkan dinding dalaman saluran darah seseorang. Menurut kajian ini,
setiap kali seseorang stress berlakunya kerosakan dinding dalaman saluran darah
(endothelial
dysfunction) selama empat jam. Kerosakan ini akan menyebabkan saluran darah
tersebut rosak dan kolesterol lebih mudah mendap didalamnya. Kesan jangkamasa
panjang akan menyebabkan saluran darah tersumbat dan akhirnya berlakulah
penyakit jantung, darah tinggi dan strok.
Dalam
satu lagi kajian yang dilaporkan dalam Jurnal Perubatan British (BMJ) pada
tahun 2006 yang bertajuk “Chronic Stress
at work and The Metabolic Syndrome: Prospective Study”. Kajian ini
melibatkan 10,308 lelaki dan wanita berkerjaya yang berumur diantara 35-55
tahun. Kajian ini menunjukkan stress akibat pekerjaan menyumbang kepada faktor
risiko yang tinggi untuk penyakit jantung iaitu sindrom metabolik. Seseorang
yang mengalami stress yang tinggi dan tidak terkawal akan berisiko tinggi
mendapat darah tinggi, kolesterol
tinggi, perut buncit, obesiti dan penyakit jantung.
Memilih
cara-cara yang tidak sihat untuk menurunkan stress seperti merokok, minum kopi
berlebihan, makan makanan atau minuman manis, minum arak, mangambil dadah dan
ubat penenang dan sebagainya akan menambah burukkan kesihatan seseorang.
Oleh
kerana itu, mengawal stress adalah dengan cara yang lebih sihat adalah amat
penting untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung. Diantara cara-cara
yang sihat dan baik serta boleh diamalkan untuk membantu seseorang mengawal
stress adalah seperti berikut.
Makan
secara sihat iaitu memilih buah-buahan, sayur-sayuran, makan ikan, kurangkan
gula dan makan dalam jumlah yang berpatutan. Jangan berlebih-lebihan dalam
pemakanan seharian kita. Mengambil suplemen yang secukupnya dengan mengambil vitamin, mineral, omega 3
dan anti oksidan juga boleh membantu mengawal stress dengan lebih baik.
Bersenam
dengan lebih kerap juga membantu mengurangkan stress. Bermain permainan yang
menyeronokkan seperti badminton, futsal, golf dan sebagainya adalah satu kaedah
yang baik untuk bersenam sambil mengurangkan stress.
Bersikap
positif dan menghadapi cabaran hidup secara positif adalah satu terapi stress
yang amat baik.Kajian menunjukkan seseorang yang bersikap positif mempunyai
risiko penyakit jantung yang lebih rendah.
Sebagai
seorang Islam, solat, berzikir dan membaca Al Quran adalah diantara kaedah
terbaik menurunkan kadar stress seseorang. Bergaul dengan masyarakat dengan ke
Masjid dan berjemaah juga boleh mengurangkan stress. Membuat kerja-kerja amal
dengan membantu dan bersedekah kepada orang yang lebih susah dan memerlukan
akan membantu mengurangkan stress. Bersyukur dengan kurniaan Allah dengan
banyak bersedekah dan beramal soleh adalah kaedah terbaik untuk mengawal stress
dan tekanan dalam kehidupan dalam zaman moden ini, Insyaallah.
Wallahualam
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MScAARMMA, FAGE
1 comment:
assalamualaikum..boleh saya gunakan artikel ini sebaGAI RUJUKAN UNTUK RESEARCH SAYA? POHON COPY...
Post a Comment