Manfaat Kesihatan Puasa Ramadhan
Ramadhan tiba untuk kali ini dan semua umat Islam wajib menunaikan ibadah puasa sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam. Muslim di seluruh dunia berpuasa kerana ia adalah suruhan Allah dalam Al Quran. Berpuasa amat baik untuk kesihatan sebagaimana yang telah dibuktikan dengan pelbagai kajian saintifik. Berpuasa dalam Islam berbeza dengan berpuasa yang difahami oleh masyarakat Barat yang melakukan ‘crash diet’ yang mempunyai kesan yang buruk kepada kesihatan.
Islam dan kesihatan adalah sesuatu yang sinonim kerana Islam amat menitikberat soal kesihatan. Setiap ibadah yang disyariatkan dalam Islam mempunyai banyak faedah kesihatan yang tersembunyi yang hanya mula difahami oleh dunia sains kini. Ramadhan adalah bulan latihan dan latihan kendiri untuk kita umat Islam. Ramadhan bukanlah bulan ‘Pesta Makan’ yang secara tidak kita sedari kita lakukan setiap tahun. Makan secara berlebihan dan makan makanan yang tidak sihat adalah bertentangan dengan semangat Ramadhan. Kita sepatutnya memfokuskan lebih banyak ibadah dan mencari semaksimum pelbagai ganjaran pahala yang berganda-ganda yang dikurniakan oleh Allah sepanjang bulan Ramadhan. Dalam bulan Ramadhan kita hanya mengubah waktu kita makan tetapi bukanlah kita mengubah jumlah dan jenis makanan yang kita makan. Kita sepatutnya mengambil sepenuhnya peluang dibulan Ramadhan ini untuk mendapat faedah kesihatan dengan mengamalkan cara hidup sihat.
Menurut kajian kesan fisioloji yang positif semasa berpuasa dalam Ramadhan adalah ia menurunkan paras glukosa darah, menurunkan paras kolesterol darah dan menurunkan tekanan darah tinggi. Hakikatnya, berpuasa adalah dicadangkan sebagai satu rawatan untuk pesakit yang mengalami diabetis yang stabil, ringan ke sederhana, pesakit darah tinggi dan seseorang yang mempunyai masalah berat badan. Berpuasa dicadangkan sebagai satu bentuk rawatan dalam satu persidangan perubatan First International Congress on “Health and Ramadan” pada tahun 1994 yang diadakan di Casablanca, Morocco. Dalam persidangan ini sebanyak 50 kajian telah dibentangkan tentang kebaikan berpuasa kepada kesihatan. Walaubagaimanapun terdapat juga pesakit-pesakit tertentu yang tidak digalakkan berpuasa seperti pesakit kanser yang teruk, diabetis yang tidak terkawal, gastrik ulser dan sebagainya. Anda perlu mendapatkan nasihat doktor untuk mengetahui jenis penyakit yang tidak digalakkan berpuasa.
Berpuasa juga mempunyai kesan yang positif dari aspek psikoloji kerana seseorang yang berpuasa sentiasa perlu bersabar dan bertenang. Sepatutnya kesan dari berpuasa masyarakat akan lebih tenang, pergaduhan berkurangan dan kadar jenayah menurun. Terdapat kajian saintifik menunjukkan kadar jenayah menurun dinegara-negara Islam semasa Ramadhan. Jika seseorang merasa marah semasa berpuasa , didalam Islam ianya dinasihatkan bersabar dengan menyatakan kepada diri mereka “ Sesungguhnya aku berpuasa”. Ini adalah aspek psikoloji positif yang perlu kita terapkan dalam kehidupan seharian. Bersikap positif seperti ini akan menurunkan kadar stres seseorang. Dengan mengurangkan stres ini maka paras hormon akan lebih stabil dan keseimbangan sistem badan akan menjadi lebih baik. Dengan lebih banyak membaca Al Quran sebagaimana yang dituntut dalam bulan Ramadhan akan membantu menjadikan seseorang lebih tenang mindanya dan mengawal kadar stres dengan lebih baik. Banyakkan bersedekah sepanjang bulan Ramadhan juga adalah satu terapi jiwa yang baik untuk kesihatan psikoloji dan mengawal stres.
Kita juga digalakkan melakukan lebih banyak solat malam semasa Ramadhan. Tabiat ini akan membantu menjadikan kita mudah mengawal stres dan merehatkan minda. Disamping itu, makanan yang kita makan pada waktu malam akan membekalkan tenaga tambahan dan membakar kalori semasa bersolat. Tidur dengan perut yang terlalu kenyang adalah tidak baik untuk kesihatan, maka bangun malam untuk bersolat termasuk juga bersolat terawikh amat baik untuk kesihatan.
Berpuasa sebulan dalam Ramadan juga akan membantu memberikan rehat kepada sistem pencernaan dalam saluran gastro-usus kita. Ia juga akan memberi kerehatan kepada organ hati dan kelenjar pankreas. Secara tidak lansung ia membantu organ hati kita melakukan proses detoksifikasi dengan membuang toksin yang berada dalam sistem tubuh manusia yang selama ini makan pelbagai jenis makanan. Tetapi jika kita makan secara berlebihan dan makan pula pelbagai jenis makanan yang tidak sihat semasa berbuka puasa maka sistem pencernaan dan hati tidak akan dapat berehat sepenuhnya.
Berbuka puasa dengan buah kurma amat digalakkan kerana ianya sangat berkhasiat. Kurma mengandungi pelbagai zat seperti vitamin C, vitamin B, zat besi, anti oksidan dan sebagainya. Disamping itu, ia juga memulihkan paras glukosa dalam darah dengan sangat cepat kerana mempunyai indeks glisemik yang tinggi. Jika kita mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW yang makan kurma semasa berbuka, kemudian bersolat Maghrib dulu dan kemudiannya kita makan semula maka kita akan makan dengan jumlah yang kurang kerana paras glukosa kita telah naik dan kita akan kurang merasa lapar sebagaimana sebelum berbuka tadi. Jika tiada buah kurma maka kita digalakkan berbuka puasa dengan buah-buahan yang manis yang lainnya.
Berpuasa amat baik untuk menurunkan berat secara sederhana dan beransur-ansur. Ia boleh dicapai jika kita makan secara sihat dan mengawal jumlah makanan semasa berbuka. Semasa berpuasa glikojen yang disimpan dalam hati dan otot akan digunakan sebagai tenaga. Selepas itu sel-sel lemak pula akan digunakan oleh tubuh kita. Bau mulut pada waktu petang sebelum berbuka adalah kerana bau ‘ketone’ yang dikeluarkan oleh paru-paru semasa tubuh mem’bakar’ lemak sebagai tenaga. Ini akan membantu seseorang menurunkan berat badan dan mengawal paras gula dengan lebih baik bagi pesakit diabetis disepanjang bulan Ramadhan.
Terdapat banyak kajian yang menunjukkan berpuasa akan menurunkan paras kolesterol dalam darah. Ini amat baik untuk pesakit yang mempunyai masalah kolesterol tinggi dan pesakit jantung. Ini adalah kerana semasa berpuasa, akibat paras glukosa darah yang menurun maka ia akan menyebabkan paras hormon insulin juga akan menurun. Ia akan menyebabkan enzim yang menghasilan kolesterol berlebihan didalam hati menjadi kurang aktif dan akan menurunkan paras kolesterol secara tidak lansung. Penurunan paras kolesterol ini mengurangkan risiko penyakit jantung, strok, darah tinggi dan diabetis.
Berpuasa juga memberikan kerehatan kepada organ buah pinggang. Ini adalah kerana semasa berpuasa kita tidak boleh minum air. Buah pinggang tidak perlu memproses air yang banyak semasa tidak berpuasa. Ia akan menyebabkan masalah dehidrasi yang sekejap sepanjang berpuasa tetapi ianya tidaklah memudaratkan. Dehidrasi sementara ini akan menyebabkan penurunan tekanan darah sedikit, oleh itu ia baik untuk pesakit darah tinggi yang sukar menurunkan tekanan darah. Oleh kerana itu Rasulullah menggalakkan kita mempercepatkan berbuka dengan air dan kurma dan melambatkan bersahur untuk mengurangkan tempoh dehidrasi ini.
Dengan berpuasa juga akan menggalakkan seseorang meninggalkan tabiat buruk yang menjejaskan kesihatan seperti merokok. Jadikan bulan Ramadhan sebagai permulaan kepada berhenti merokok. Semasa berpuasa , tubuh seseorang dapat mengurangkan kesan toksin tinggi akibat merokok. Perokok yang ikhlas berpuasa sepatutnya akan merasa lebih tenang dan fokus semasa berpuasa dari merokok. Jika seseorang boleh berhenti merokok selama 12 jam berpuasa, maka adalah sesuatu yang boleh dicapai untuk perokok berhenti merokok sepenuhnya selepas Ramadhan. Tangguhkanlah merokok selepas berbuka dan kurangkan jumlah rokok yang dihisap secara beransur-ansur perokok boleh berhenti merokok sepenuhnya, Insyaallah.
Matlamat utama dalam berpuasa adalah mencari taqwa kepada Allah. Ramadhan adalah bulan terbaik sebagai satu latihan dan motivasi untuk kita mencapai matlamat ini. Makan secara berlebihan dan memilih makanan yang tidak sihat seperti makanan bergoreng, makanan bergula tinggi, makanan proses akan membantutkan proses manfaat kesihatan berpuasa. Merokok juga tidak akan mendekatkan seseorang kepada taqwa kepada Allah kerana ianya telah difatwakan HARAM oleh para ulama’. Oleh itu dalam kita mencari taqwa sepanjang bulan Ramadhan ini tinggalkanlah tabiat-tabiat buruk yang menjejaskan kesihatan dan ambillah peluang sepenuhnya menambahkan taqwa kita kepada Allah dengan beramal ibadah sebaik yang mungkin disamping menjaga pemakanan dan meninggalkan tabiat merokok dalam Ramadhan ini, Insyaallah.
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc (UCSI), FAGE
No comments:
Post a Comment